Tuesday, January 10, 2012

Kini Hasan Ali wakil rakyat Bebas, rayu jika mahu kekal, kata PAS

KUALA LUMPUR, 10 Jan — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali agar mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama sekiranya ingin terus bersama parti Islam itu dan digelar “wakil rakyat PAS.”

Tuan Ibrahim, Ketua Penerangan PAS pusat berkata Hasan mempunyai tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

Jelas beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Hasan (gambar) hilang kelayakan untuk terus bertanding atas tiket PAS.

“Dalam tempoh 30 hari beliau (Hasan) boleh membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama, status beliau sekarang adalah wakil rakyat Bebas... kecuali beliau buat rayuan dan diterima beliau akan kekal sebagai wakil rakyat PAS sekiranya rayuan itu diterima.

“Bila sudah dipecat beliau bukan lagi ahli dan wakil rakyat PAS, beliau hanya ada peluang 30 hari untuk membuat rayuan,” kata Tuan Ibrahim menambah peluang Hasan membela diri masih ada melalui Majlis Syura Ulama sekiranya exco kerajaan negeri Selangor itu tidak berpuas hati dan merasakan diri tidak mendapat keadilan.

Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia kelmarin dipecat keanggotaan sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di ibupejabat PAS Jalan Raja Laut.

Tindakan memecat Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

Hasan, exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang “menongkah arus”.

Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim, peluang kedua yang diberikan parti harus digunakan sebaik-baiknya oleh Hasan menambah “jangan menggunakan saluran lain selain parti.”

“Kalau guna ruang lain kita tidak mahu komen apa yang beliau nak cakap, itu hak beliau.

“Tetapi adalah lebih baik untuk gunakan saluran yang parti berikan,” katanya. MI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular