Saturday, January 14, 2012

Alahai, boss Mydin pun nak main politik…

Hiasan
GEORGE TOWN, 13 JAN: Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Mydin dicabar menyerahkan bukti berkaitan tuduhannya yang menyatakan ada penipuan dalam pengisytiharan harta oleh Exco-exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong mencabar Ameer Mydin supaya menyerahkan bukti-bukti kukuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

“Jika tiada bukti, sebagai tokoh korporat yang bertanggungjawab, beliau harus menarik tuduhan beliau itu dengan segera dan meminta maaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata demikian mengulas kenyataan Ameer Mydin di Twitter semalam yang dipetik sebagai berkata:

“After 3 years so can trust (Selepas tiga tahun boleh percayakah?)” dan

“All done la transfers take time thats way after 3 yrs declaring (Semua pemindahan sudah siap lah sebab itu ambil masa tiga tahun).”

Liew yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat DAP menjelaskan bahawa kesemua 11 Exco kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng telah mengumumkan aset mereka pada 8 Mac 2008 dan 31 Disember 2011.

“Pengisytiharan harta itu dinilai dan disahkan oleh firma akauntan antarabangsa, KPMG,” katanya, menambah ini adalah kali pertama semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan, ahli kerajaan secara terbuka mengisytiharkan harta masing-masing.

Mydin adalah satu-satunya pengendali monopoli Kedai Rakyat 1Malaysia. – Roketkini.com

Exco kerajaan Pulau Pinang isytihar harta secara terbuka

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk juga ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri semalam telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

“Ini memenuhi amanah peribadi dan juga komitmen politik Kerajaan PR Pulau Pinang,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar).

Beliau telah mencadangkan 6 langkah integriti untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT iaitu cekap, akauntabel, telus.

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

Rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI). Skandal RM250 juta “lembu dan kondo” baru-baru ini di mana wang pinjaman untuk projek penternakan lembu yang telah diberikan kepada syarikat kepunyaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani, telah digunakan untuk pembelian kondominium mewah, menjadi bukti bahawa BN tidak akan berubah.

Tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Ketiga, Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan dan juga pendedahan umum kontrak-kontrak kerajaan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah mengisytiharkan harta mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, sudah jelas terbukti bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dan telus dalam pentadbiran.

“Kita telah menunjukkan kesungguhan terhadap integriti nasional dengan pengisytiharan harta penjawat-penjawat awam tertinggi, iaitu Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, ujarnya adalah ekoran daripada Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lepas serta sistem Tender Terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International dan juga Ketua Audit Negara.

Sumber: Harakahdaily.net

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular