Monday, January 9, 2012

Pemecatan Hassan Ali : Ambil pengajaran dari "SIRAH" + Video


Nasrudin harap Hasan Ali tidak lari dengan prinsip Islam, contohi Abu Bakar Hamzah

Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat keahlian parti Islam itu berkuatkuasa serta-merta semalam agar “tidak lari meninggalkan perjuangan Islam.”

Kata Nasrudin (gambar), Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan exco kerajaan negeri harus belajar daripada kesilapan dan mencontohi sikap bekas Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Datuk Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan yang bercanggah dengan keputusan parti.

“Kepada Datuk Dr Hasan Ali, jika anda benar-benar ikhlas dengan perjuangan Islam anda tidak lari meninggalkan perjuangan ini sebagaimana pernah berlaku kepada Datuk Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan parti.

“Tetapi beliau (Abu Bakar) tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini. Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semua kepangkuan PAS di penghujung karier dan usianya,” katanya di laman sosial Facebook.

Abu Bakar yang pernah memegang jawatan setiausaha agung PAS meninggalkan parti Islam itu apabila presidennya Datuk Asri Muda membawa parti itu menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1974.

Selain Abu Bakar, ramai pemimpin utama PAS ketika itu bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Kata Nasrudin, sayap pemuda PAS itu menyokong penuh keputusan memecat Dr Hasan yang dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat semalam.

Kata beliau, menurut peruntukan parti Dr Hasan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama berhubung pemecatan itu.

“Datuk Dr Hasan Ali dibuang keahliannya berkuatkuasa serta-merta dan menurut perlembagaan parti beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama selepas ini. Semoga Allah memberkati keputusan yang dibuat secara syura ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan, PAS menjelaskan, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) dan setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Menurut kenyataan itu lagi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Dr Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS.

Dr Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan kontroversi dan “menongkah arus”.

Terbaru beliau menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Sumber: Themalaysianinsider.com

KETIKA KOMANDER KHALID DIPECAT AMIRUL MUKMININ

08 January 2012 - Marilah kita menelaah semula peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid R.A dari jabatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab R.A. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Bagi mereka yang tidak berada di lapangan pentadbiran, mereka melihat Khalid dengan sifat kepahlawanannya yang luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk jabatan panglima agung dan tidak ada sebab yang jelas mengapa ia harus dipecat. Tetapi Umar dengan ketajaman pandangannya dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dengan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Siapa yang tidak kenal Sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Umar al Khattab R.A yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq R.A? Dan siapa pula yang tidak mengenal pakar strategis di medan perang, Khalid bin Al Walid? Kedua-duanya adalah tokoh pejuang di belakanag Baginda Nabi S.A.W.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid R.A yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jabatannya kepada pengganti yang baru ditauliahkan oleh Umar iaitu Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah. Khalid R.A sendiri barangkali tidak tahu dengan pasti mengapa pemecatan ini dilakukan, tetapi yang jelas ialah Khalid tidak meragui keikhlasan Umar Al Khattab dan menghormati kewibawaan pimpinannya.

Khalid meyakini bahawa pemecatan tersebut adalah untuk kebaikan seluruh umat, bukan kerana motif jahat, bukan motif menjatuhkan Islam, bukan motif kroni dan sebagainya, tetapi adalah bermotifkan keyakinan kepada perjuangan Nabi S.A.W. Kerana itu, Khalid dengan spontan patuh kepada perintah Umar dan tidak terlintas langsung sebarang tindakan penentangan, cakap-cakap mulut yang berterusan dan kerana itu ia tidak menghebohkan kepada orang ramai, khuatir ia akan menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan.

Nabi S.A.W pernah bersabda memuji Abu Ubaidah bin Al Jarrah, "Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al Jarrah". Namun, pujian melangit Baginda S.A.W kepada Abdullah bi Al Jarrah tidak membuatkan Khalid berkecil hati. Jika kita merenung akal manusia yang cetek ini pasti terdetik dalam fikiran kita, "Apa lebihnya Abdullah bin Jarrah? Apa kurangnya Khalid bin Al Walid?". Namun, bukan soal kehebatan personal kedua-dua tokoh ini, tetapi sebaliknya adalah soal disiplin dan akhlak yang disemat sebaik-baiknya oleh kedua-dua tokoh para pejuang agama Allah ini.

Setelah diserahkan jabatannya kepada Abu Ubaidah, Khalid terus berkhidmat dengan setia di bawah pimpinan yang baru dan semangat perjuangannya itu kekal utuh sama seperti beliau menjadi pemimpin tentera. Komen spontan yang terbit dari tindakan Khalid menampakkan ketulusan hatinya, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar". Inilah jiwa besar Khalid, bukannya menentang pimpinan setelah beliau dipecat, bukannya terbit perasaan tidak puas hati, bukannya membantah keputusan Umar.

Di pihak Abu Ubaidah pula, tidak pula beliau menampakkan kerakusannya terhadap jawatan, beliau akur agar perlantikannya dirahsiakan buat beberapa ketika. Sementara itu, pihak tentera dan umat Islam pula telah menerima perubahan tersebut dengan tenang, tidak ada yang membantah, yakin bahawa tindakan Umar adalah tindakan yang didasari tawakkal dan petunjuk Allah. Bukannya tindakan semberono, tindakan pengekor hawa nafsu dan peribadi, tindakan tanpa syura.

Seluruh tentera Islam merelakan pemecatan Khalid, sebagaimana Khalid merelakan dirinya dipecat dan mereka juga menerima perlantikan Abu Ubaidah sebagai Khalid menerimanya dengan ikhlas. Kewibawaan dan reputasi Abu Ubaidah tidak pernah dipertikaikan dan Khalid melihatnya sebagai alternatif yang berhak menggantikannya.

Demikianlah peristiwa besar, jiwa tarbiyah Khalid yang terus abadi dalam rakaman sejarah, menjadi lambang keunggulan umat yang ikhlas mengabdi dan berbakti hanya kepada Allah, hormat kepada pimpinan dan setia kepada pimpinan perjuangannya. Sesungguhnya bertuahlah umat yang sedia belajar dari sejarah ini, baik yang berkedudukan sebagai Umar, Khalid dan Abu Ubaidah radhiAllahu anhum ajma'ien. Betapa tingginya taqwa Para Sahabat, inilah hati-hati yang berada dalam satu saff yang dipuji oleh Allah Taala di dalam Al Quran :

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh" - Surah As Saff:4, Al Quranul Karim

Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab R.A? Bagaimana jika mereka dipecat seperti Khalid bin Al Al Walid R.A? Dan Bagaimana pula jika mereka mengundang jawatan seperti Abu Ubaidah bin Al Jarrah R.A? - Majalah TARBAWI Isu No:2

Apa kata DSAI tentang pemecatan HA?

Dalam ceramah Gerakan Bebas Anwar 901 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dihadiri kira-kira 5,000 ribu hadirin, malam tadi, DSAI berkata "Eloklah Hasan dipecat. Dasar Pakatan Rakyat (PR) bukanlah perkauman tetapi mengangkat semua kaum."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular