Jika diikutkan apa yang diucapkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ahmad Maslan, jelas UMNO/BN sudah tidak ‘ketahuan’ lagi. Sejak kebelakangan ini, UMNO sudah menunjukkan betapa parti yang kononnya perjuangkan nasib bangsa melayu ini sudah berada diambang ‘sakaratul maut’.
Umum mengetahui bahawa UMNO selama ini menang di dalam pilihanraya bukanlah bergantung sepenuhnya kepada kekuatan undi melayu namun memerlukan ‘tongkat’ kaum lain terutamanya kaum Cina untuk menampung hayat mereka. Mengimbau kembali sejarah pilihanraya umum 1999 ketika mana bangsa melayu bangkit menolak UMNO/BN akibat ‘buah tangan’ isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, parti melayu ini di’selamat’kan oleh undi kaum lain selain daripada memanupulasi undi pos. Jadi apakah Mahyuddin dan Ahmad Maslan tidak belajar daripada peristiwa tersebut?
Ucapan Muhyiddin ketika merasmikan persidangan tiga sayap UMNO di Kuala Lumpur adalah dengan berniat jahat kononnya DAP parti yang paling ‘rasis’, mahu mewujudkan negara republik dengan mengenepikan nilai, sejarah dan jati diri negara bangsa berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam adalah tidak benar sama sekali. Bagaimana seorang yang bergelar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran boleh mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa. Jadi amat malanglah bagi para guru mempunyai menteri yang bersikap sebegini.
Begitu juga dengan Datuk Ahmad Maslan yang berkata bahawa Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), ucapkan ‘selamat tinggal’ kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja. Seterusnya beliau menambah lagi dengan mengatakan juga ‘Selamat tinggal’ kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian (merujuk kepada usahasama PAS di dalam Pakatan Rakyat). Bukankah ucapan-ucapan ini boleh mencetuskan rasa kurang senang dan tidak puas hati dikalangan orang melayu yang boleh membawa kepada rusuhan kaum? Apakah mereka lupa apa yang terjadi kepada tulisan jawi? DAP yang yang mengharamkannya? Bagaimana pula nasib yang menimpa Dewan Bahasa Dan Pustaka? Kemana perginya Saham Bumiputera yang bernilai puluhan bilion ringgit? Bukankah PPSMI diluluskan oleh UMNO/BN yang menyebabkan ramai pelajar melayu terutamanya di yang tinggal dipendalaman ketinggalan? Mengapa Undang-undang Murtad tidak digubal sedangkan sebelum ini berapa ramai melayu UMNO yang mengaku perjuangkan bangsa dan agama menjadi ahli parlimen?
Atas dasar inilah, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru kepada kaum lain terutama Kaum Cina agar bertindak ‘mengajar’ UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana sudah jelas dan nyata punca kepada perpecahan kaum yang berlaku adalah kerana selagi wujudnya parti yang berteraskan bangsa ini. Mereka bukannya menghentam DAP secara khusus akan tetapi yang tersiratnya adalah menghina Kaum Cina keseluruhannya setelah mereka menemui jalan buntu untuk mendapatkan kembali sokongan dan undi kaum tersebut. DAP yang bertindak memperjuangkan keadilan sehingga sanggup memecat mana-mana ahlinya yang didapati menyalahguna kuasa dituduh dengan bermacam-macam tuduhan dan tohmahan. Tidak sepertimana UMNO/BN yang bertindak membela Shahrizat yang dituduh menyelewengkan RM250juta tanpa dibawa kemuka pengadilan. Rekod pemerintahan DAP di Pulau Pinang yang dipuji oleh Audit Negara tidak diendahkan. Begitu juga nasib rakyat Pulau Pinang lebih terbela tanpa mengira bangsa dan parti berbanding di zaman pemerintahan BN dahulu juga di’gelap’kan oleh mereka.
Ayuhlah bersama di dalam Pakatan Rakyat demi untuk menjamin kesejahteraan antara kaum dan agama supaya hidup akan lebih harmoni dan tenteram daripada pemikiran politik sempit UMNO/BN. Terima kasih diucapkan kepada UMNO kerana dengan ucapan-ucapan sebegini akan menyebabkan rakyat semakin muak dengan perangai dan tingkahlaku mereka. Sudah sampai masanya mereka di’didik’ dengan ‘bahasa’ undi kerana hanya itu sahaja ‘jalan’ yang paling sesuai dan mudah difahami oleh UMNO/BN.
**Mohd. Firdaus Jaafar adalah Ahli Parlimen Jerai merangkap Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
No comments:
Post a Comment