Friday, December 2, 2011

Mana Shahrizat Mahu Lari?

PKR dakwa NFC sering bayar syarikat pelancongan
Selain dakwaan pembelian kereta mewah dan lot tanah, PKR hari ini turut mendakwa bahawa syarikat National Feedlot Corporation (NFC) sering membuat bayaran kepada sebuah syarikat pelancongan sehingga "dua tiga kali sebulan."

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa bayaran berjumlah RM455,423 itu dibuat sebanyak 15 kali semenjak Januari hingga Julai 2010 melalui akaun syarikat NFC.

Beliau mendedahkan perkara itu sebagai salah satu daripada senarai dakwaan "perbelanjaan boros dan bersifat peribadi" yang dibuat keluarga Shahrizat.

"Kita tak terkejut sebab bila kita semak tahun 2009 memang dia belanjakan hingga RM800,000 untuk ke luar negara.

"Alasan yang diberi adalah perbelanjaan ke luar negara untuk tengok lembu, lawat lembu, beli lembu dan sebagainya.

"Tapi yang ini lebih ajaib kerana ini adalah pakej percutian," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mendakwa, siasatan yang dijalankan PKR menunjukkan syarikat yang menerima bayaran tersebut merupakan syarikat yang menawar pakej percutian ke lokasi popular sekita Asia Tenggara.

"Kalau nak melancong sekali sekala saya fahamlah tapi kalau dua tiga kali sebulan, pelik tu.

"Soalannya, macam mana syarikat yang patut urus ternakan lembu jadikan pakej percutian sebagai pembayaran rutin bulanan?

"Kalau benar pergi bercuti, siapa yang pergi bercuti?," soalnya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Beliau membuat pendedahan terbaru itu ekoran tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil yang menggunakan peluang berucap di perhimpunan agung Umno pagi ini untuk menyerang pemimpin PKR berhubung dakwaan skandal penyelewengan dana NFC. -mk

Shahrizat tak mahu jawab soalan projek lembu

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini tidak mahu mengulas mengenai kemelut membabitkan (NFC) - sehari selepas beliau menyampaikan ucapan yang berapi-api mengecam pengkritiknya berhubung isu tersebut.

Dalam satu sidang akhbar hari ini selepas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan agung parti itu, Shahrizat ditanya sama ada beliau turut terbabit dalam keputusan kabinet meluluskan projek NFC.

Shahrizat mengangkat keningnya, menggelengkan sedikit kepalanya serta menggerakkan tangan kanannya tanda beliau tidak mahu menjawab soalan itu.

Sebaliknya, Shahrizat bercakap menyentuh ucapan dasar Najib dan tergesa-gesa meninggalkan sidang akhbar, tanpa menjawab soalan seterusnya dari pihak media.

Semalam, Shahrizat mengecam mereka yang menyerangnya dan keluarganya berhubung projek NFC, yang dibangkitkan dalam Laporan 2010 Ketua Audit Negara.

Projek tersebut telah diberikan kepada syarikat milik keluarga Shahrizat pada tahun 2007 sewaktu pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Shahrizat merupakan seorang menteri kabinet.

Dalam ucapannya di perhimpunan agung Wanita Umno semalam, Shahrizat berkata beliau tidak ada kaitan dengan projek NFC itu.

Pengkritiknya, terutamanya PKR, mendakwa NFC menyalahgunakan pinjaman RM250 juta, dengan membeli kondominium mewah dan membiayai perjalanan ke luar negara.

Hanya beberapa jam selepas itu, PKR membuat tuduhan terbaru terhadap NFC, dengan mendakwa syarikat itu menyalahgunakan dana untuk membeli tanah di pusat pentadbiran Putrajaya dan sebuah kereta mewah. -mk

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular