HANYA kerana menjadi rakyat Malaysia tidak bermaksud semua orang faham sinikal yang cuba disampaikan, itulah yang terjadi kepada saudara Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) apabila membangkitkan isu meminda perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan orang melayu sahaja dalam ucapan dasar Kongres AMK Jumaat lepas.
Walaupun katanya ditujukan kepada UMNO, kenyataan yang disifatkan sebagai rasis ini menarik kecaman yang bukan sedikit daripada rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat, terutama sekali DAP yang jelas terjejas dengan selitan dari ucapan Shamsul Iskandar itu.
Ketua sayap pemuda DAP, DAPSY, Anthony Loke dipetik MalaysiaKini sebagai berkata:-
“Saya terkejut dengan kenyataan bersifat rasis Shamsul kerana sayap Pemudanya sentiasa menganjurkan prinsip pelbagai kaum PKR.
“Kenyataan rasis dan melulu sebegitu akan melambatkan usaha PKR untuk menyumbang kepada penamatan (era) rasisme di negara ini,” katanya.
Sebagai perbandingan, UMNO yang jelas parti rasis melayu pun tidak pernah membangkitkan soal melantik Perdana Menteri dari kalangan orang melayu sahaja.
Walaupun penulis berpendirian Anthony Loke agak keterlaluan menuduh ucapan Shamsul sebagai rasis tapi dari satu sudut memang kebimbangannya itu berasas.
Tambahan pula ia muncul di dalam keadaan wujudnya keresahan dalam PKR akan kebarangkalian PAS dan DAP tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri setelah kita memenangi pilihanraya umum ke-13 nanti.
‘Ikrar’ Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali pada Jumaat dan kontroversi kenyataan Shamsul sebagi bukti.
Perlu diakui, sekarang tidak ada parti dalam komponen Pakatan Rakyat yang benar-benar berjaya sebagai parti pelbagai kaum, baik DAP, PKR apatah lagi PAS. DAP lebih digambarkan sebagai parti cina, PKR sebagai parti melayu dan PAS juga sebagai parti melayu.
Apatah lagi tanggapan umum bahawa PKR dan PAS adalah serpihan kepada UMNO yang jelas memperjuangkan melayu.
Justeru tidak hairan kalau kebimbangan ini sentiasa wujud, apatah lagi dalam keadaan Pakatan Rakyat belum didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik yang sah (akibat masalah yang ditimbulkan ROS).
Besar atau tidak kesan yang disebabkan kenyataan Shamsul Iskandar ini tidak perlu dipertikaikan. Kalau kecil dan kurang mudarat, tidak mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tampil mempertahankan Shamsul dan membetulkan salah tanggap yang timbul dari kenyataan tersebut.
Apa pun penulis harap saudara Shamsul akan lebih berhati-hati dalam memberikan ucapan umum selepas ini. Memang kita akui teks disediakan tapi seperti yang diketahui Shamsul jarang merujuk kepada teks semasa membuat ucapan, tidak hairan kalau umum menyifatkan kenyataan tersebut bukan datang dari teks sebaliknya dari hati!!! - Suara Pakatan Rakyat
No comments:
Post a Comment