KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.
“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.
Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.
Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.
“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta menakutkan rakyat.
Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.
Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.
“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.
Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.
Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.
Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.
Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.
“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.
“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.
Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.
“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya. HD
No comments:
Post a Comment