Barisan Nasional sebenarnya telah mati dan hanya tinggal nama yang diusung Umno sebagai modal politik, begitu menurut Timbalan Presiden Azmin Ali dalam sesi temubual khas Fokus Berita malam tadi.
Beliau berkata rakyat Malaysia umumnya sedar parti komponen Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan kini hanya perkakasan mewarnai teater propaganda Umno.
"Bagi saya Barisan Nasional tidak lagi wujud. MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti-parti komponen lain tidak lagi relevan. Kalau kita tanya masyarakat, MCA dan Gerakan itu parti sejarah dan tidak lagi mampu membela nasib masyarakat Cina.
Yang tinggal dalam BN sekarang ini hanya Umno yang masih lagi mempunyai sedikit pengaruh khususnya dikalangan orang-orang Melayu,".jelas Azmin.
Fokus Berita khas itu sempena Kongress ke-8 PKR di Pulai Springs Resort di sini.
Ketika keputusan rasmi PRU-12 diumumkan, BN kehilangan 82 kerusi Parlimen dari 222 kerusi yang dipertandingkan, dengan hanya Sabah dan Sarawak memastikan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Sekiranya Wilayah Persekutuan dianggap sebuah negeri, BN kehilangan enam negeri semuanya. Di Negeri Sembilan, BN hidup dengan hanya majoriti empat kerusi. Di Pahang, BN kehilangan ibu negeri Kuantan.
Parti komponen BN yang dikatakan mewakili suara rakyat bukan Melayu, MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Rakyat Malaysia (PPP) kalah teruk di kawasan-kawasan yang merupakan kubu kuat mereka sebelum 2008.
Semua kerusi Gerakan disapu bersih di Pulau Pinang, MCA kehilangan lebih dari 30 peratus kerusi mereka manakala MIC sekadar mampu mempertahankan 8.3% sokongan berbanding 72.4% peratus yang diperoleh pada pilihanraya 2004.
Kajian insitut kajiselidik ASLI meramalkan masa depan yang samar buat BN dengan meningkatnya penghijrahan ke bandar setinggi 73% menjelang tahun 2020.
Satu-satunya penghalang kepada reformasi Malaysia adalah Umno dan Azmin berkata tema "Malaysia tanpa Umno" adalah usaha Parti Keadilan Rakyat untuk menyedarkan masyarakat Melayu.
"Kepercayaan bahawa hanya Umno yang dapat membawa kemakmuran kepada rakyat sebenarnya telah dimitoskan lebih 50 tahun, sehinggakan realiti dibawah ialah rakyat takut untuk melakukan perubahan kerana kebimbangan apa akan jadi kepada negara ini tanpa Umno." katanya. -tvsnews / GB
No comments:
Post a Comment