Sebelum itu.. buat semua Ahli KeAdilan seluruh Malaysia.. Korang pegang kata-kata Kak Wan ini.."Kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan akan dirundingkan terlebih dahulu dengan cabang dan akar umbi; harus di kalangan mereka yang berkelayakan dan diyakini punyai prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh."
"Suatu ketika dahulu ramai sarjana Barat dan elit penguasa di dunia Islam beranggapan demokrasi dan Islam bagai air dan minyak, saling terpisah dan mustahil bersatu. Kemudian Indonesia dan Turki membuka jalan dan mata dunia bahawa demokrasi dan syura itu asas pentadbiran Islam. Islam dan demokrasi ibarat kubah dan menara yang menghiasi Masjid.
Kira-kira setahun yang lalu, ar-Rabīʻ al-ʻArabiyy atau Arab Spring meletus di Tunisia dan merebak ke seluruh dunia Arab. Jutaan anak muda yang dahulunya dikongkong dengan seribu satu undang-undang dan terpenjara oleh ketakutan elit kekuasaan turun ke jalan raya dengan satu tuntutan: berikan mereka kebebasan, kembalikan maruah mereka."
Demikianlah pendahuluan ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat Wan Azizah Ismail , cuba menyuntik semangat kepada anggotanya dengan memberi gambaran "Arab Spring", yang berlanjutan sejak awal tahun ini.
"Kemaraan jutaan anak muda yang turun ke jalan bukan terhad di Kaherah atau Alexandria, tetapi juga di kaki lima di Madrid, Barcelona, Athens dan Rome. Di mana-mana, anak muda tampil menyatakan kemarahan mereka kepada sistem politik, sosial dan ekonomi yang bobrok dan merampas hak mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR yang berjudul "Demi Rakyat, Melakar Masa Depan Malaysia", dalam Kongres Nasional Tahunan Keadilan di Pulai Springs Resort, Johor Bahru, pagi ini.
Beliau cuba mengaitkan apa yang berlaku di Timur Tengah dengan situasi di Malaysia, "Titik persamaannya adalah kerakusan sang penguasa yang alpa kepada kebajikan rakyat, tumpas kepada godaan rasuah dan kekayaan sedang rakyat menderita. Sang penguasa seperti juga di negara ini yang bermaharajalela dalam sistem politik dan sosial yang merampas kebebasan rakyat."
Wan Azizah memetik statistik Pekali Gini (Gini Coefficient) untuk menunjukkan bagaimana jurang kekayaan dalam masyarakat semakin melebar, pada paras 37.91 dalam tahun 2004, dan merudum kepada 46.21 pada tahun 2009. "Kedudukan ini meletakkan jurang kekayaan di Malaysia lebih buruk dari negara-negara yang lebih miskin dan mundur seperti Indonesia, Afghanistan, Iraq mahupun negara yang dilanda peperangan seperti Liberia," Katanya.
Jurang kaya-miskin
Malah beliau mengingatkan, jika kadar kenaikan gaji bagi satu dekad akan datang kekal pada paras 2.6% iaitu tersekat pada kadar purata kenaikan gaji di antara tahun 2000 hingga 2010, maka menjelang 2020 dijangkakan peratusan rakyat Malaysia yang berada di bawah paras kemiskinan akan meningkat 4%.
Wan Azizah juga mengambil statistik terkini, bahawa 342,198 rakyat Malaysia berdaftar sebagai penganggur sehingga Ogos 2011. Dalam tahun 2010 dan 2011, purata rakyat yang mendaftar sebagai penganggur baru setiap bulan adalah 14,809 orang. Dalam tempoh yang sama juga, secara purata kerajaan hanya berjaya mencari pekerjaan dan menempatkan 1,338 orang penganggur berdaftar setiap bulan.
"Di kemuncak krisis kewangan dunia dan kemelesetan ekonomi global, jumlah penganggur berdaftar di negara ini ialah 369,799 dalam tahun 2009. Dua tahun selepas pelbagai program ekonomi dan janji ditaburkan kepada rakyat, angka terkini di akhir Ogos 2011 kekal tinggi di paras 342,198 orang," katanya.
Lebih-lebih lagi, 69.1% daripada angka 342,198 orang ini adalah dari kalangan anak muda berumur bawah 25 tahun. Angka ini menjadi lebih besar jika dilebarkan kepada golongan muda di bawah 30 tahun, mencecah sehingga 90.1%, menurutnya.
Wan Azizah menambah, daripada 342,198 orang penganggur, 51.4% mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan tinggi di peringkat diploma, 29.9% dari penganggur muda ini tamat dengan pengajian ijazah, 21.5% pula mempunyai diploma.
Tahan dan Kinabalu hilang jika gunung boleh dicuri
Sementara itu, ketika menyentuh isu rasuah dan ketamakan pemerintah, Wan Azizah menyindir, "Di kala kita di ambang medan juang penentu, jangan kita alpa sejarah dan akar umbi kita. KEADILAN berputik dari kebangkitan rakyat yang marah dengan keangkuhan elit kekuasaan membolot harta negara. Ketamakan elit kekuasaan ini tidak kenal erti had. Kalau gunung boleh dicuri tiadalah Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu di dunia ini, kalau Banjaran Titiwangsa boleh disapu, nescaya yang itu pun direbut-rebut mereka."
Selain menawarkan kebajikan dengan peruntukan wang untuk warga emas, suri rumah, isi rumah miskin dan sebagainya, Presiden PKR menegaskan semula Deklarasi Permatang Pauh yang diamanatkan pada tahun 2008, yang membuka tirai kepada gerakan Reformasi.
Bagaimanapun, menjelang PRU 13, Wan Azizah menjanjikan calon PKR yang lebih berkualiti untuk bertanding. "Pimpinan parti juga akur dengan teguran bahawa beberapa calon yang dipilih dulu kurang berkelayakan; prestasi hambar di Parlimen atau DUN dan kurang berkhidmat untuk rakyat. Kita harus lega manakala mereka bertindak keluar dan tersisih dari perjuangan. Malah kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan akan dirundingkan terlebih dahulu dengan cabang dan akar umbi; harus di kalangan mereka yang berkelayakan dan diyakini punyai prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh."
PKR mengadakan Kongres Nasional Tahunannya mulai hari ini di Pulai Springs Resort. Turut hadir dalam majlis perasmiannya termasuklah Lim Kit Siang dari DAP dan Abdul Hadi Awang dari PAS. MerdekaReview
No comments:
Post a Comment