23 November 2011 yang merupakan penghulu segala hari, Hari Jumaat yang lepas telah dicemari dengan budaya kerja media yang mengelirukan rakyat melalui medan suaranya yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan.
Jam 7.00 pagi, berita RTM memaparkan berita perkembangan semasa banjir.
Menyentuh banjir di Kelantan, pembaca berita menyebut berita yang menggambarkan bahawa banjir amat buruk sedang berlaku di Kelantan yang ingin dikaitkan dengan kegagalan kerajaan Kelantan mengawal masalah banjir saban tahun. Apabila menyebut jumlah mangsa yang berpindah di Kelantan pula disebut 1800 orang tapi jadual grafik yang dipaparkan hanya menunjukkan jumlah 1,400 orang, menggambarkan media yang ingin melebih-lebih dalam memburukkan keadaan Kelantan. Walhal melihat kepada jumlah mangsa banjir di Kelantan adalah jauh lebih rendah berbanding Terengganu pada masa itu, berjumlah lebih 2,000 orang, namun tidak pula disebutkan banjir sedang buruk di Terengganu.
Tengah hari, selepas Solat Jumaat saya membeleksebuah akhbar bahasa Melayu yang beredisi Kelantan. Sekali lagi terdapat perkara yang memburukkan imej Kelantan dilakukan oleh media. Membelek helaian 4 sisipan berita daerah Kelantan, berita yang agak besar di bahagian bawah melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi pesan kepada rakyat Kelantan agar menyatakan pendirian dengan mengubah kepimpinan Kelantan sekarang dalam PRU-13 akan datang yang katanya ‘agar Kelantan tidak semakin ketinggalan’. Baca SINI
Berita berkenaan menyebut seramai 15,000 rakyat hadir memberi sokongan ke majlis jamuan rakyat bersama TPM di SK Gual Ipoh, Tanah Merah pada 23 Nov yang lepas. Namun, apabila dibelek lagi di muka 19, berita khas daerah Tanah Merah, dilaporkan berita bertajuk “18,000 memeriahkan karnival”. Pihak Umno Bahagian Tanah Merah menyatakan sejumlah 18,000 orang yang hadir dan ini adalah tanda sokongan dan komitmen rakyat terhadap Umno semakin bertambah di Tanah Merah & Kelantan.
Ini jelas berbeza dengan berita di muka yang terkedepan tadi iaitu diberitakan 15,000 orang yang hadir, namun pihak Umno Bahagian melalui media berkenaan bersikap melebih-lebih apabila menyatakan 18,000 rakyat yang hadir. Percanggahan fakta ini menggambarkan sikap media yang tidak telus dalam melaporkan berita dan kemungkinan jumlah orang yang hadir dalam majlis tersebut jauh lebih rendah berbanding jumlah yang dilaporkan .
Walaupun 10,000 orang yag hadir sekalipun, pihak Umno tidak boleh berbangga dengan jumlah itu kerana sebenarnya semua sekolah dalam daerah Tanah Merah telah mengeluarkan sepucuk surat yang ditandatangani Guru Besar kepada semua guru, guru Kafa, staf sekolah, dan ibu bapa pelajar yang mana menyatakan semua yang terbabit Diwajibkan Hadir (dengan tulisan Bold Hitam) ke majlis tersebut. Maka semua ibu/bapa/penjaga yang rata-ratanya masyarakat kampung di Tanah Merah ini merasakan perlunya hadir, bimbang kehadiran diambil dan tindakan akan dikenakan kepada anak masing-masing di sekolah nanti. Tidak dikira lagi dengan semua guru yang sememangnya akan dikenakan tindakan sekiranya tidak hadir, maka tidak hairanlah walaupun ramai orang yang hadir.
Membelek halaman lain, terjumpa berita bertajuk “Banjir Kelantan Paras Bahaya”. Apabila dibaca berita lanjut dalam artikel berkenaan, berita mengatakan air sungai utama di Kelantan berada pada paras amaran dengan jumlah mangsa perpindahan banjir seramai 1,184 orang. Langsung tidak menghuraikan tajuk utama, “Banjir Kelantan Paras Bahaya”. Namun, dalam artikel dibawah tajuk yang sama, dipaparkan air sungai di beberapa lokasi di Terengganu dilaporkan Melebihi Paras Bahaya dengan mangsa perpindahan banjir seramai 2,402 orang (jauh lebih ramai berbanding Kelantan).
Secara jelas berita ditulis air sungai di Terengganu berada pada paras melebihi tahap berbahaya berbanding Kelantan hanya pada paras amaran dan sepatutnya berita tersebut bertajuk “Banjir Terengganu Paras Bahaya”. Hanya kerana Kelantan dibawah pimpinan ulama’ dan Terengganu di bawah pimpinan nasionalis (Umno), maka berita dilaporkan sedimikian rupa. Sekali lagi secara jelas media melebih-lebih dalam memburukkan imej & keadaan di bawah kepimpinan ulama’ Kelantan.
Seterusnya, selepas pulang Solat Isya’ di masjid, saya membuka saluran TV3 menonton siaran Buletin Utama bagi mengetahui isu semasa negara tercinta ini. Sekali lagi pada hari ini berita mengelirukan rakyat dikeluarkan oleh media Malaysia. Berita ringas dalam bentuk tulisan yang sentiasa bergerak di bahagian bawah berita memaparkan “Orang Ramai Dijemput Hadir Ke Majlis Bekwoh Anak Kelate 2011 bersama Pemimpin-Pemimpin Kelantan pada 26 Nov 2011, Sabtu di Stadium Putra, Bukit Jalil”. Saya yang pada mulanya bersangka baik kepada TV3 memikirkan TV3 sanggup mengiklankan program kerajaan negeri dalam siaran berita mereka. Namun apabila disiasat, kawan saya memaklumkan bahawa majlis tersebut sebenarnya adalah Majlis Perhimpunan Ahli Umno Kelantan bersama pemimpin pengkhianat Kelantan yang bermimpi memerintah Kelantan sejak 2 dekad yang lalu iaitu Dato’ Mustapha Mohamad & Awang Adek serta dihadiri seorang Menteri jemputan, Dato’ Shabery Chik.
Keesokan harinya, (26 Nov) saya menonton Buletin 1.30 TV3. Sekali lagi iklan majlis tersebut diiklan dalam TV3, bagaikan TV3 ini adalah media rasmi Umno walaupun umum mengetahu TV3 adalah media swasta. Satu lagi perkara menyakitkan hati selaku rakyat Kelantan apabila berita ringas dalam bentuk tulisan yang sentiasa bergerak di bahagian bawah berita memaparkan “Banjir Kelantan Semakin Buruk”. Namun tidak sampai 5 minit kemudian pembaca berita membacakan berita berbunyi : “Banjir di Kelantan semakin pulih….”. Secara jelas, sekali lagi percanggahan berita diberikan kepada rakyat Malaysia dalam satu berita yang sama, sama seperti berita dari akhbar yang saya ceritakan tadi.
Sungguh keji etika kewartawanan dan kebebasan media yang diamalkan para media negara ini apabila banyak memutar belitkan fakta dengan niat mengelirukan rakyat. Mereka ini tidak mengambil iktibar terhadap peringatan yang diberikan di mana setiap tulisan dan perbuatan mereka walau baik dan buruk akan dicatat oleh malaikat dan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Semoga Allah dapat menunjukkan yang hak & menjatuhkan yang batil suatu hari nanti. Insya-Allah... Ibnu Halim, Tanah Merah
No comments:
Post a Comment