Friday, December 2, 2011

Hebatnya calon-calon boleh menang UMNO…

2 DISEMBER – Dalam gegak-gempita persidangan agung parti United Malays National Organisation atau UMNO, kita dapat melihat dengan jelas corak pemikiran dan gagasan perjuangan sebenar parti yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu ini.

Paling menarik ialah isu calon Yang Berhormat mereka bagi menghadapi pilihan raya yang mereka anggap sebagai ‘ibu segala pilihan raya’. Mesej ini jelas menunjukkan bahawa, hidup mati UMNO akan ditentukan pada PRU ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Semua bakal-bakal calon yang merasa dirinya layak atau wajar dipertimbangkan, pastinya sedang giat melobi dan menggunakan segala kesempatan di saat-saat akhirnya ini untuk menunjukkan ketaatan, kebolehan dan kemampuan mereka sebagai calon ‘boleh menang’ bagi UMNO.

Siapa calon-calon boleh menang UMNO?

Isu kriterea calon ini dilihat cukup mengujakan kita sebagai pengundi. Apa yang ada pada calon-calon boleh menang UMNO ini? Apa ciri-cirinya?

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, antara kriterea calon boleh menang ini ialah mereka ‘yang benar-benar orang UMNO’, bukan sekadar ahli biasa.

Maka bagi ahli-ahli UMNO yang biasa walau pun dia bijak pandai, pakar, atau ahli akedemik yang sederhana dalam pemikirannya, benar-benar memahami dan mahu mengamalkan konsep 1Malaysia, dan mereka yang terbukti profesional dalam kerjanya, mungkin agak sukar dipertimbangkan untuk menjadi boleh menang UMNO ini.

Malah jika kita fahami betul-betul maksud tersebut, mereka yang benar-benar UMNO ini maknanya yang totok UMNO – bodek-membodek, kipas-mengipas dan mengadu-domba. Jika ada orang UMNO yang marah kerana tuduhan ini, maka tanya diri sendiri mengapa orang seperti itu yang sering menjadi pilihan parti.

Itu belum lagi dengan tuduhan tentang rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya. Ini bukan tuduhan pembangkang, inilah persepsi yang dibina sendiri oleh para pemimpin UMNO yang dilihat oleh kalangan akar umbi mereka sendiri.

Tentulah UMNO yang seramai lebih 3 juta ahli itu mempunyai anggota dan pemimpin yang bijak, yang jujur, yang tidak rasis, yang terdiri dari kalangan profesional. Tetapi nampaknya mereka tidak akan punya peluang untuk bertanding dan membantu memulihkan imej UMNO dan seterusnya mengembalikan kuasa politik parti itu.

Pakar-pakar maki-hamun, fitnah

Yang dicerminkan melalui perhimpinan agung UMNO, seolah-olah bakal-bakal calon ‘yang benar-benar UMNO’ adalah mereka yang pandai memaki-hamun, memfitnah dan memburukkan orang lain. Bukan sekadar untuk menunjukkan diri gagah tetapi juga untuk menyembunyikan segala kelemahan, kepincangan dan skandal kewangan yang sedang dihadapi oleh sesetengah pemimpin UMNO.

Seperti mana kata Hishammuddin, “adalah tidak mencukupi bagi anggota parti sekadar menjadi ahli UMNO tetapi mereka perlu menjadi ‘orang UMNO’ yang perwatakannya tergambar daripada tindak tanduknya dan sistem nilai yang dipegang iaitu taat dan setia, cinta dan kasih serta berkhidmat tanpa jemu dan berkorban untuk parti.”

Hebat bunyinya tetapi yang dimaksudkan itu satu sahaja, taat kepada pemimpin yang ada tanpa mengira sama ada mereka berwibawa atau tidak. Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul, itulah persepsi rakyat terhadap UMNO sekarang.

Kasihan ramai ahli UMNO yang ikhlas, jujur dan baik yang hanya mahu berjuang memastikan nasib kaum Melayu tidak terpinggir, kini dipaksa taat dan setia kepada kepimpinan parti yang sudah korup. Malah mereka disuruh berkorban pula. Jarang pula didengar pemimpin di atas menawarkan diri untuk berkorban.

Mempertahankan sistem yang semakin runtuh

Yang dikatakan calon boleh menang UMNO ini tidak lain dan tidak bukan adalah usaha pucuk pimpinan untuk mengekalkan orang-orang yang taat setia dengan pimpinan yang masih bergelumang dengan rasuah, salah guna kuasa dan perkauman.

Bukti-buktinya corak kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’ UMNO ini jelas. Daripada slogan 1Malaysia yang tidak diamalkan oleh para pemimpin UMNO sendiri kepada tindakan ganas terhadap rakyat yang menuntut kebebasan dan pilihan raya bersih serta skandal-skandal kewangan yang telah didedahkan dalam Laporan Ketua Aduit Negara, semua ini perlu dipertahankan oleh calon-calon boleh menang UMNO.

Memang sedih mengenangkan rakyat Malaysia daripada kalangan orang Melayu yang masih setia dengan UMNO. Niat mereka suci dan bersih tetapi parti yang mereka sertai itu bukan lagi membawa wawasan UMNO 1946.

Menang di Malaysia tidak perlu berlaku kebangkitan rakyat the Arab Spring seperti kata Tun Mahathir Mohamad. Namun musim panas sepanjang tahun kita masih menyediakan peluang untuk mengubah kerajaan secara sah melalui pilihan raya.

Jika UMNO meneruskan cita-cita meletakkan calon-calon boleh menang ala UMNO, ini mungkin menjadi ‘sokong membawa rebah’ – kalah.

Jika ini berlaku, ia bukan sahaja berita baik untuk Pakatan Rakyat, ia juga berita terbaik untuk semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dikongsi bersama dalam negara yang berbilang kaum ini. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular