Wednesday, November 16, 2011

Muhyiddin Terlibat Luluskan Projek Lembu Feedlot, Perlu Letak Jawatan Sama

Petaling Jaya: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mendesak Tmbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletakkan jawatan kerana turut bertanggungjawab dalam skandal pembelian kondominium mewah oleh National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Ketua Koordinator Jingga 13 Fariz Musa berkata tindakan Muhyiddin yang membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi gambaran bahawa seolah-olah Ketua Wanita Umno itu tidak bersalah apabila melibatkan wang rakyat sebanyak RM250 juta, yang sebenarnya dikhianati dan diselewengkan tanpa rasa bersalah oleh ahli keluarga beliau.

Turut menyokong kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu Shahrizat meletakkan jawatan, Fariz berkata kenyataan Muhyiddin dan juga mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menafikan penglibatan Shahrizat itu dilihat begitu dangkal.

“Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail (suami Shahrizat) dan ahli keluarganya tidak akan memperolehi projek ini sekiranya mereka bukan ahli keluarga Shahrizat malah beliau juga turut merasai sama manfaat daripada projek tersebut.

“Beliau juga selaku menteri kerajaan gagal dalam menasihati ahli keluarga sendiri sehingga melibatkan penyelewengan dan berlakunya aktiviti pecah amanah yang melibatkan wang rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan Abdullah yang mahu Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC itu memberi penjelasan kepada ahli parlimen mengenai isu ini, namun dalam masa yang sama turut mendesak kes ini dibawa ke muka pengadilan kerana melibatkan jenayah pecah amanah.

“Kami mahu Muhyiddin meletakkan jawatan dengan segera kerana projek ini diluluskan oleh beliau serta termasuk meluluskan pinjaman RM250 juta dan beliau tahu kepada siapa projek tersebut diluluskan dan ternyata skandal NFC ini adalah satu bukti “projek nepotisme dan kronisme” yang dilakukan oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional.

NFC yang dilantik kerajaan sebagai integrator projek ternakan lembu kebangsaan dengan modal dana berjumlah RM250 juta, didakwa menggunakan dana tersebut untuk membeli kondominium mewah One Menerung bernilai RM9.8 juta di Bangsar.

Malah anak syarikat NFC, National Meat Livestocks Corporation (NMLC) yang membeli kondominium tersebut berhutang dengan NFC juga didakwa ditubuhkan dan dimiliki oleh pengurusan tertinggi NFC iaitu ahli keluarga Shahrizat. -FMT

NFC: Shahrizat tak perlu letak jawatan, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA, 15 Nov - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat secara langsung dalam Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek kontroversial yang diuruskan oleh anggota keluarganya, dan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet dan parti.

Beliau mengulas demikian ekoran kenyataan pelbagai termasuk desakan wakil rakyat Umno-BN dari Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin semalam di Dewan Rakyat agar mereka yang bertanggungjawab dalam skandal NFC wajar meletakkan jawatan.

"Beliau (Bung Moktar) tidak mengatakan Shahrizat secara langsung terlibat sebab ini adalah soal bisnes yang dikendalikan oleh keluarganya, tetapi beliau tidak terlibat," kata Muhyiddin kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun katanya, gesaan timbalan pengerusi BBC-BN itu agar Shahrizat meletakkan jawatan adalah sesuatu yang tidak perlu di kalangan "orang sendiri."

“Ini sudah dijawab di Parlimen oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Noh Omar) dan telah dibincang dan diperjelaskan dengan mendalam lebih sejam dan seharusnya disambut dengan baik.

“Sama ada betul (untuk meminta agar letak jawatan)Datuk Bung Moktar dengan sendirinya boleh fikir,” katanya lagi.

Muhyiddin juga berkata syarikat yang terlibat seharusnya datang dengan penjelasan mereka sendiri dalam isu ini.

Kata beliau, ia akan membolehkan syarikat terbabit menjelaskan apa yang berlaku sebagaimana ditekankan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

“Terserah kepada mereka,” katanya.-TMI / GB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular