Tuesday, November 15, 2011

Bung terkedu dengan jawapan Tony Fernandes

KL, 15 Nov 11: Ketua syarikat tambang murah AirAsia Tan Sri Tony Fernandes menggunakan ruang sosial Twitter sekitar dua jam pagi ini untuk menjawab kritikan ke atas beliau oleh beberapa wakil rakyat semalam sambil berkata, empat Ahli Parlimen telah menyerang beliau secara “peribadi” sejak lima tahun lalu.

“Empat Ahli Parlimen telah mengkritik saya. Menjadikan ia sesuatu yang peribadi selama lima tahun.

“(Malah) seorang Ahli Parlimen mengatakan saya telah merompak orang kampung (rakyat biasa) yang miskin,” kata Fernandes pagi ini.

Malah jawab beliau: “Orang kampung tidak boleh terbang (menggunakan perkhidmatan udara) sebelum ini.”

“Kami telah bekerja keras untuk membolehkan mereka terbang dan 130 juta orang sudah terbang kerana kami,” kata beliau yang syarikatnya telah menandatangani perjanjian tukaran saham dengan Penerbangan Malaysia (MAS) Ogos lalu.

Kata beliau, pendekatan AirAsia ialah bersusah payah untuk membolehkannya menyediakan perkhidmatan tambang murah bagi rakyat berpendapatan rendah.
Paparan skrin respons Tony Fernandes menerusi ruang Twitter pagi tadi.

“Cukai lapangan terbang dibayar oleh semua rakyat Malaysia. Wang itu tidak pergi kepada AirAsia, tetapi MAB (Malaysia Airport Berhad. Bagi setiap RM25 adakah anda fikir mendapat nilai (yang sepadan) di (terminal murah) LCCT,” katanya lagi.

AirAsia sebelum ini dianggap menjadi saingan kepada MAS. Ogos lalu ia menandatangani kerjasama dengan MAS dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan nasional tersebut. Usaha itu mendapat kelulusan Putrajaya.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen Umno menuduh Tan Sri Azman Mokhtar dan Fernandes telah menipu rakyat dalam urusan perjanjian saham melibatkan MAS dan AirAsia Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mohtar Radin mahu Azman, ketua eksekutif Khazanah disoal siasat ekoran keputusan agensi pelaburan kerajaan memutuskan untuk menukar 20.5 peratus saham dalam MAS bagi mengambil 10 peratus saham dalam AirAsia.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memanggil Tan Sri Azman... kesemua mereka... jika ada penyelewengan, humban mereka ke dalam penjara,” kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN-BBC ini di Dewan Rakyat.

“Bagaimana Khazanah boleh diperbodohkan, macam mana boleh jadi bodoh, diperdayakan oleh Tony Fernandes. Jika saya berada dalam kedudukan, saya akan letak jawatan daripada menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

“Kemungkinan mereka bukan bodoh. Kemungkinan mereka mendapat keuntungan besar dengan mengaut wang rakyat,” kata beliau dengan kedudukan Tune Air, milik Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, kini memiliki satu perlima pegangan dalam MAS.

Ahli Parlimen Sri Gading Mohamad Aziz juga mendakwa AirAsia dengan jelas menipu publik dan “sekarang cuba untuk menipu MAS.”

“Jika orang macam ini (Fernandes) menguasai kita, astaghfirullah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2012.

Bung Mohtar juga berkata bahawa kerajaan tidak harus takut dengan Fernandes.

“Apa sahaja beliau mahu, kita beri. Beliau mahu kenakan caj tambahan bagi lebihan (muatan) bagasi dan hisap darah rakyat miskin.

“Sekarang saya dengar beliau ada rancangan untuk mengambil alih keseluruhan penerbangan dalam negeri dan MAS hanya akan ada penerbangan antarabangsa,” kata beliau sambil menambah, “jika kita beri yang ini kepada beliau, negara akan rosak. Ia tanda berakhirnya dunia bagi kita,” kata beliau lagi.

Perjanjian pertukaran saham antara MAS-AirAsia berhadapan dengan kecaman daripada ahli-ahli politik dan kesatuan sekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu. Kenyataan kedua-dua wakil rakyat itu juga mendapat reaksi berbelah bahagi daripada pembaca dan orang ramai.

Fernandes juga bertanya mengapa wakil rakyat terbabit tidak pernah mempersoalkan kos lapangan terbang dan memperjuangkan usaha mengurangkan cukai lapangan terbang demi rakyat. “Mengapa PAC tidak melihat kos lapangan terbang LCCT baru dan mengapa laluan ketiga diperlukan,” katanya lagi.

Menjawab soalan pemegang akaun @gbeejipp sama ada pembinaan LCCT baru dan laluan ketiga idea beliau, Fernandes menulis: “Kami mahukan terminal dibina di belakang terminal utama. Dan bukan laluan ketiga.”

Apabila didakwa beliau seorang yang angkuh oleh pengguna bernama @firdyfire, Fernandes membidas dengan berkata “tanya 9,000 pekerja saya (sama ada) saya angkuh.” (IH/MI)

Cukai perlu ikut kemampuan rakyat

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Tan Seri Tony Fernandes, membatalkan satu sidang media mengenai cukai lapangan terbang yang dija­dualkan, semalam.
Tan Seri Tony Fernandes
Beliau bagaimana pun, menggunakan laman sosial, Facebook, untuk melahirkan kekecewaannya mengenai isu itu, sambil menyatakan cukai lapangan terbang perlu ditetapkan agar mengikut kemampuan rakyat.

“Air Asia telah memper­juangkan untuk menjadikannya lebih murah kepada orang kebiasaan. Cukai lapa­ngan terbang dibayar rak­yat dan para penumpang.

“Wang itu tidak diterima oleh Air Asia, tetapi diterima oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB),” katanya di dalam Facebooknya, semalam.

Menurutnya, Malaysia Airlines dan Air Asia telah menyumbang idea kepada MAHB bagi menaikkan pendapatan dengan menarik kedatangan lebih banyak syarikat penerbangan.

“Kemudiannya, kurangkanlah caj itu,” katanya.

Tony berkata, MAHB telah membuat terlalu banyak janji kosong dan syarikat penerbangan itu dipersalahkan terhadap prestasi buruk mereka.

“Air Asia mahukan MAHB bersikap bersih. Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (KLIA2) yang baharu sepatutnya beroperasi pada Jun 2012 pada kos RM2 bilion,” katanya.

Adalah dilaporkan bahawa kos KLIA2, yang berke­upayaan mengendalikan 30 juta penumpang akan berharga lebih daripada kos awal RM2 bilion.

Tony turut mempersoalkan keperluan membina landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kenapa KLIA membina landasan ketiga apabila mereka tidak menggunakan mod dua landasan? Heathrow mempunyai 60 juta penumpang hanya dengan menggunakan dua landasan.

“Membetulkan sistem trafik udara adalah lebih murah daripada membina satu lagi sistem landasan,” katanya.

Mengenai kritikan daripada empat Ahli Parlimen, Tony berkata, perkara itu lebih menjurus kepada soal peribadi.

“Kami telah bekerja keras untuk menjadikan penerba­ngan itu mampu digunakan dan 130 juta orang telah terbang bersama kami,” katanya. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular