Monday, November 14, 2011

Pengayuh beca dan mat rempit dibayar RM30 sejam

Mat Rempit, pengayuh beca bebas berdemonstrasi di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 13 NOV – “Negeri mana dalam Malaysia yang bebas untuk demonstrasi? Nampaknya setakat ini di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, rakyat bebas berdemonstrasi, bersuara dan berekspresi.”

Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang menambah bahawa kumpulan Mat Rempit bebas berhimpun, walau pun tanpa sebarang permit polis.

“Di negeri-negeri lain, apabila ada orang lapor polis tentang Mat Rempit, tidak kisah sama ada Mat Rempit itu berbangsa Cina, Melayu atau India, polis akan datang cepat-cepat tangkap,

“Tetapi di Pulau Pinang, Mat Rempit sangat berani… Malah dalam demonstrasi baru-baru ini, mereka boleh demonstrasi dari Komtar sehingga Dewan Undangan Negeri sejauh 3 kilometer, dengan diiringi pihak polis pula,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau berkata demikian dalam program pelancaran buku 28th Floor: A Peek at Lim Guan Eng yang diadakan di kompleks beli belah One Utama dekat sini malam tadi.Buku itu dalam Bahasa Cina hasil koleksi tulisan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Cheong Yin Fan, mencatatkan kisah-kisah Guan Eng dalam melaksanakan tugas sehariannya sebagai Ketua Menteri demi kepentingan rakyat semua kaum.

Guan Eng menjelaskan, rakyat Pulau Pinang bebas berdemonstrasi sehingga boleh memaki-hamun beliau sebagai Ketua Menteri tanpa sebarang tindakan keras daripada pihak polis, sejak beliau bersama Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri selepas pilihan raya umum 2008.

Malah, menurutnya, baru-baru ini pengayuh beca di Pulau Pinang pun boleh berdemonstrasi tanpa permit dan tanpa takut ditangkap oleh polis.

Beliau menambah, kebanyakan pengayuh beca yang berdemontrasi itu tidak tahu pun tentang tujuan mereka mengadakan demonstrasi tanpa kebenaran polis itu.

“Apabila disoal wartawan kenapa mereka turun demonstrasi, mereka jawab, ‘kami dibayar, sebab itu kami datang sini,’. Sebab mengapa mereka buat demonstrasi, mereka pun tak tahu,” katanya.

Menurtnya, beliau difahamkan pengayuh beca yang berdemontrasi itu dibayar RM30 sejam, menimbulkan spekulasi kemungkinan mereka didalangi oleh pertubuhan politik tertentu.

Beliau menjelaskan, sekiranya pengayuh beca berkenaan prihatin dengan usaha kerajaan Pakatan Pulau Pinang, mereka tentu sedar dengan pengumuman untuk mengadakan Hari Tanpa Kenderaan Bermotor bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Bandar.

Hari Tanpa Kenderaan Bermotor akan diadakan setiap Ahad bermula 7 pagi hingga 7 petang di beberapa lokasi terpilih yang juga bertujuan mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau.

“Dengan inisiatif ini, sudah tentu tidak ada alasan pengayuh beca untuk berdemonstrasi. Tetapi apabila dibayar untuk berdemo, kita fahamlah…” katanya disambut gelak ketawa orang ramai.

Justeru, Guan Eng menjemput melawat orang ramai ke Pulau Pinang pada 4 Disember ini bagi menyaksikan sendiri pelancaran Hari Tanpa Kenderaan Bermotor. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular