Monday, November 14, 2011

MCA hina rakyat Malaysia di luar negara

NONE
KUALA LUMPUR, 14 NOV – Tindakan MCA yang tidak mahu membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi merupakan langkah yang terkebelakang, malah menghina rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, cadangan MCA itu melambangkan mentaliti feudal parti itu yang jelas tidak melambangkan nilai demokratik.

“Mereka (MCA) memperlakukan rakyat lebih teruk dari kanak-kanak, seolah-olah rakyat tidak tahu berfikir untuk diri sendiri dan tidak tahu apa-apa.

“Orang yang tidak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku di Malaysia bukanlah mereka yang berada di luar negara. Yang tidak tahu apa-apa ialah mereka berada di dalam negara dan terus mengundi Barisan Nasional kerana media di Malaysia memang dikawal ketat oleh BN,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian mengulas bantahan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Ei Kim Hock yang tidak bersetuju agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan mengundi.

Menurut laporan Malaysiakini, Ei dipetik sebagai berkata, “Pengundi yang menetap di luar negara tidak patut dibenarkan mengundi. Kita melihat perkara ini dengan serius kerana mereka yang tinggal di luar negara tidak mengetahui dan tidak benar-benar memahami keadaan di Malaysia.”

Justeru Guan Eng yang juga Adun Air Puteh berkata, setiap rakyat yang memegang pasport Malaysia tetap merupakan rakyat Malaysia dan berhak untuk mengundi.

“Cadangan MCA itu sangat menghina, dan ianya perlu dikutuk. Adakah semua rakyat Malaysia yang memegang pasport Malaysia tidak setia pada negara?

“Jika begitu, mereka (MCA) patut tanya (Menteri Pelancongan MCA Datuk Seri Dr) Ng Yen Yen. Dulu beliau pernah ada status pemastautin tetap di Australia…Adakah ini bermaksud beliau bukan rakyat Malaysia?” katanya. – Roketkini.com

DAP cabar MCA tarik balik cadangan pada PSC

MCA hari ini dicabar supaya menarik balik cadangan tidak membenarkan rakyat Malaysia di luar negara daripada mengundi menerusi pos yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi pembaharuan sistem pilihan raya.

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (kanan) berkata, presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu berbuat demikian, kerana Chua mendakwa bahawa apa yang disampaikan oleh wakil parti itu adalah tidak tepat.

Sekiranya Chua gagal berbuat demikian, kata Lim, ini membuktikan bahawa MCA menyokong untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia di luar negara, mengundi pada pilihan raya umum, atas alasan mereka tidak tahu perkembangan dalam negara.

"MCA perlu memohon kepada PSC supaya menarik balik memorandum itu. Adakah mereka akan menarik balik atau tidak? Selagi mereka tidak tarik, ia masih berkuatkuasa.

"Chua Soi Lek melakukan satu perkara lain dan pada masa yang sama bercakap mengenai perkara lain,” kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, wakil MCA Ei Kim Hock (kiri) ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Ei Kim Hock memberitahu PSC bahawa cadangan untuk memperluaskan undi kepada rakyat Malaysia di luar negara adalah tidak munasabah kerana mereka menerima maklumat yang "meragukan".

"Pengundi yang menetap di luar negara tidak harus dibenarkan untuk mengundi," katanya sambil menambah parti itu memandang serius perkara itu kerana mereka yang tinggal di luar negara tidak mengikut perkembangan dalam negara dan tidak memahami sepenuhnya keadaan di Malaysia.

Sejurus selepas kenyataan itu dikeluarkan, MCA dibidas pelbagai pihak sehingga memaksa Chua untuk membuat penjelasan bahawa Ei telah membuat kesilapan.

Sebaliknya, Chua berkata MCA tidak menghalang cadangan untuk membolehkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara daripada hak untuk mengundi, tetapi bimbang mengenai masalah logistik yang terlibat.

Lim berkata jika benar Ei melakukan kesilapan, maka Chua perlu memohon maaf kepada rakyat di negara ini.

"Hanya kerana saya berada di luar negara, saya tak lagi menjadi rakyat Malaysia? Bukankah saya juga mempunyai hak? Saya dapati bahawa kenyataan itu sangat menghina ... mereka harus minta maaf kepada semua rakyat Malaysia, dan Chua patut memulakannya," kata Lim. Mk

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular