Tuesday, November 15, 2011

Sharizat seorang menteri - She has no business to be in business

Isu pembelian One Menerung Bangsar oleh NFC kendalian keluarga Sharizat dengan menggunakan pinjaman dari sumber kerajaan sebanyak RM88 juta itu sekarang di serah kepada pihak polis oleh MACC. Badan yang mencegah rasuah itu berkata yang MACC tidak mempunyai kuasa untuk melakukan penyiasatan kerana itu merupakan satu isu yang di bawah penal kod dan itu hanya kuasa polis untuk menyiasatnya.

Senang betul setengah orang berniaga. Ambil pinjaman mudah dari agensi kerajaan, belum pun perniagaan dilakukan sudah membeli kondo One Menerung dengan harga RM 9.8 juta. Berniaga seperti ini tidak payah bermodal. Modalnya hanya jadi Ketua Wanita UMNO. UMNO merupakan modal untuk berniaga dan dengan mudah dapat membeli kondo yang berharga sedemikian mahal.

Itu hanya seorang menteri yang di dapati melakukan kerja tidak bermoral. Belum lagi di siasat menteri-menteri yang lain. Nampaknya semua menteri berniaga dengan laris. Ada menteri yang tidak gemar dengan KSU kementeriannya yang rasuah tetapi tidak lama kemudian menteri ini berkonspirasi untuk bersama-sama melakukan rasuah yang sama.

Apabila seorang menteri melakukan kerja rasuah ini dengan bersekongkol dengan KSUnya yang rasuah maka tidak ada sesiapa boleh mengambil tindakan terhadap KSU yang saya sebutkan tadi. Itulah yang berlaku dan akan terus berlaku. UMNO sudah menjadi parti tawkey dan kefasihan bercakap tentang perjuangan orang Melayu itu hanyalah sebagai retorik ucapan semasa meresmikan perwakilan bahagian masing-masing serta menjadi konten uacapan dasar Presiden UMNO dalam perhimpunan Agong tahunan parti yang berkuasa ini sahaja.

Pemimpin-pemimpin ini akan balek ke kawasan masing-masing dengan gegaran semangat yang tidak terperi hebatnya tetapi dalam masa yang sama mereka tidak segan dan silu berniaga dalam kementerian yang mereka ketuai. Baik menteri-menteri besarnya, baik ketua-ketua menterinya, ketua-ketua setiausaha kementerian serta ketua-ketua pengarah banyak jabatan berniaga di atas angin dengan hebatnya. Modal berniaga mereka hanyalah kuasa yang ada pada tangan mereka. Mereka berniaga hanya menggunakan pen dan tanda tangan mereka sahaja.

Harga sesuatu projek itu bergantung kepada berapa banyak komisyen yang mereka yang berkuasa hendak. Kalau banyak komisyen yang mereka hendak maka tinggilah harga projek tersebut. Mereka tidak kisah dengan harga sesuatu projek itu kerana segala kos akan ditanggung oleh rakyat yang membayar cukai. Kalau rakyat lambat membayar cukai mereka akan disekat untuk keluar negara dengan sekatan yang di lakukan oleh pihak immigresen.

Pendeknya UMNO hanyalah parti yang membina satu kelompok besar ‘commisioners’ sahaja. Yang menanggung segala kos rasuah mereka adalah rakyat jelata yang didera untuk membayar cukai pendapatan dan perniagaan mengikut skala yang telah di sediakan oleh pejabat hasil dalam negeri.

Dalam kes projek lembu ahli-ahli keluarga Sharizat Jalil pembiayaan projek yang begini besar hanya boleh di dapati kerana kedudukan Sharizat sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Sharizat orang penting dalam UMNO walaupun telah ditolak oleh rakyat di dalam pilihanraya yang lalu. Hampir kesemua yang penting dalam UMNO itu menjadikan parti itu sebagai modal untuk ‘berniaga’ secara besar-besaran.

Seperti yang saya selalu katakan melakukan perkara gila seperti ini sudah menjadi budaya yang sudah menjadi pakaian kepada pemimpin kepada parti yang sudah terlalu lama berkuasa. Semuanya tidak lagi menjadi kesalahan dan mereka tidak pun merasa bersalah melakukan kerja hina dan tidak berbudaya itu.

Di dalam keadaan defensive sekarang ini, UMNO masih lagi tidak mahu memperbaiki partinya, bukan kerana mereka tidak mahu memperbaiki tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak menjadi baik. Kebaikan kepada mereka ialah mengekalkan kuasa dengan cara apa sekali pun. Malah presiden UMNO pernah berkata ‘we will defend Putrajaya at all costs’. Apa maknanya ‘at all cost’ itu? Sanggup menipu? Sanggup melakukan segala yang tidak baik asalkan dapat mempertahankan kuasa?

Apa bila pemimpin berkata akan mempertahankan ‘at all cost’ itu, ia boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai tafsiran. Kenapa ‘at all cost’? kenapa tidak menerima sahaja keputusan rakyat? Negara ini bukan UMNO yang punya. Negara ini kepunyaan rakyat. Kenapa begitu takbur? Apa yang hendak di pertahankan ‘at all costs’ itu?

Boleh lah pemimpin UMNO berusaha untuk mempertahankan putrajaya itu, tetapi kalau itu kehendak dan ‘ultimate’ bagi UMNO dan BN kena adalah sifat malu sedikit. Janganlah rasuah dan berkelakuan seperti Sharizat Jalil dan keluarga beliau.

Kepada pemimpin tunjukanlah kebolehan yang mereka setidak tidaknya boleh mengawal sikap dan perangai isteri-isteri masing. Kalau nak mengawal isteri pun tidak berdaya, bagai mana nak kawal negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum yang berjumlah 28 juta orang ini? Kalau rakyat marah janganlah salahkan orang lain seperti pembangkang dan sebagainya.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya, bekerjalah untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya untuk kepentingan peribadi yang tidak ada batasnya. Sharizat Jalil adalah seorang menteri yang masuk mengikut pintu belakang atau memanjat tingkap. Jadilah seorang menteri yang bertanggung jawab , dan bukannya bersikap tamak haloba seperti ini.

Sesungguhnya Sharizat dan mana-mana menteri pun sama tanggungjawab mereka. “They have no business to be in business” Aspan Alias<

/span>

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular