Friday, November 18, 2011

ISA : Kerajaan BN Keras Kepala

1. Sebelum ini, dengan yakinnya YAB Perdana Menteri Datuk Seri Hj. Najib Tun Abd Razak mengisytiharkan bahawa Kerajaan UMNO dan BN akan memansukhkan ISA sekaligus memberi sinar harapan kepada rakyat yang menanti sejak sekian lama untuk bebas dari belengguakta drakonian ISA yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan telah banyak membawa kesengsaraan kepada rakyat sendiri.

2. Tangkapan terbaru ke atas saudara Nazri Dollah di bawah akta ISA adalah bukti bahawa Kerajaan UMNO dan BN terus mempermainkan kesabaran rakyat dan terus mendera perasaan mereka. Ia bukan sahaja satu bukti bahawa kerajaan UMNO dan BN tidak serius dan jujur menghapuskan akta zalim itu tetapi juga terus mendera dan membuli rakyat sendiri.

3. Selayaknya kerajaan tidak lagi menggunakan ISA setelah komitmen untuk memansukhkannya telah dipertegaskan oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Tetapi malang, ia sungguh meragukan. Tidak mustahil komitmen kerajaan UMNO dan BN dalam perkara - perkara lain seperti mahu memansukhkan PPSMI dan melakukan reformasi pilihanraya juga hanya satu retorik yang memperdayakan rakyat.

4. Sebelum ini berlaku flip - flop kerajaan dalam memutuskan kedudukan PPSMI dan kini kelihatan sikap yang sama akan berulang pada ISA. Jika benar Kerajaan UMNO dan BN konsisten untuk memansukhkan ISA, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya saudara Nazri Dollah dibebaskan dari ISA dan jika ada pertuduhan ke atas beliau maka hendaklah di dakwa ke mahkamah, bukan dikurung tanpa sebarang perbicaraan.

5. Jika kerajaan UMNO dan BN terus berdegil dan keras kepala, enggan untuk membebaskan saudara Nazri Dollah, saya mengharapkan seluruh rakyat bangkit membantah dan menolak kerajaan flip - flop ini khasnya anak - anak muda demi masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, aman dan sejahtera dari kezaliman yang dihasilkan oleh kerajaannya sendiri.

6. Sekiranya rakyat tidak bangkit membantah sebaliknya membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh kerajaan UMNO dan BN ini, tidak mustahil selepas ini PSC pula akan menjadi mangsa manipulasi kerajaan flip - flop ini. Melalui perkembangan ini setelah PPSMI dan ISA, saya jangka langkah untuk reformasi sistem pengurusan pilihanraya juga akan mengalami nasib yang sama. Akan cair dipertengahan jalan. Hanya kejujuran dan dilihat jujur dalam usaha melakukan perubahan ini sahajalah yang akan memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan UMNO dan BN kali ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular