Sunday, November 13, 2011

Khairy Jamaludin memalukan

Lepas satu isu timbul satu isu yang melibatkan pemerahan wang rakyat yang di lakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan keluarganya dalam jumlah yang besar dan tidak terfikir oleh sesiapa yang mempunyai sedikit daya pemikiran yang baik.

Isu yang terakhir yang kita dengar setakat ini ialah isu NFC (national feedlot centre) yang melibatkan keseluruhan keluarga Ketua Wanita UMNO dan seorang Menteri yang masuk ke dalam Jemaah Menteri negara melalui pintu belakang itu.

Dengan terbongkarnya tindakan mencuri ini maka ramailah pemimpin-pemimpin UMNO yang membuat kenyataan sambil berbohong di Parlimen dengan menyatakan yang projek lembu itu adalah projek yang berjaya.

Muhyiddin Yassin yang bertanggung jawab untuk menjadikan projek ini menjadi realiti telah meminta Noh Omar untuk menjawab dan mempertahankan Sharizat di dalam parlimen tetapi beliau menyepi dan tidak berkata apa-apa. Tindakan Muhyiddin untuk meminta Noh Omar untuk menjawab itu memang tindakan yang bijak kerana jawapan yang sebodoh itu hanya boleh diberikan oleh orang seperti Noh Omar itu.

Yang mengejutkan saya ialah penglibatan Khairy Jamaludin membantu Noh Omar mempertahankan tindakan keluarga seorang ahli jemaah kabinet negara dengan mengatakan yang projek itu adalah projek yang berjaya. Khairy menambah lagi kekalutan dengan memberi tahu rakyat yang pembelian kondominium berharga RM10 juta itu adalah tindakan yang betul kerana untuk mengelakan wang lebihan syarikat itu dari ‘idle’ di dalam akaun syarikat.

Khairy yang baru mula hidup ini sedaya upaya untuk memperbodohkan orang ramai. Khairy yang selama ini saya anggap pemimpin berpotensi dalam UMNO dan negara sekarang sudah menampakan dirinya sudah terpengaruh dengan budaya mempersendakan rakyat. Mungkin Khairy terpaksa bersama-sama Noh Omar menganggap rakyat ramai ini bodoh dan boleh diperlakukan apa sahaja terhadap mereka (rakyat).

Dengan tindakan Khairy memberikan alasan yang jembel untuk mempertahankan Sharizat dan keluarganya saya telah dapat membuktikan teori yang saya selalu sebut; sehebat mana pun dan sehandal mana pun pemikiran dan kepimpinan seseorang itu, apabila terlibat di peringkat kepimpinan UMNO seseorang itu akan menjadi lemah pemikiran dan akan selalu bertindak bodoh mempertahan perkara yang tidak boleh dipertahankan lagi.

Pendeknya UMNO hanya mampu untuk merosakan pemikiran orang ramai dengan menyakinkan perkara yang bathil itu di terima sebagai perkara yang hak. Apa sahaja yang buruk yang di lakukan oleh mana-mana pemimpin tertinggi UMNO itu mereka (pemimpin UMNO) akan berpusu-pusu mempertahankan kesalahan sesama mereka.

Dalam isu NFC ini amat jelas kerajaan sedang cuba untuk memperlembukan orang ramai dengan projek lembu ini. Mereka menggunakan lembu untuk melembukan kita semua. Mereka seolah-olah meminta kita semua bertepuk tangan kerana kegagalan projek ini dan menganggapkan yang projek ini adalah projek berjaya.

Noh Omar dan Khairy seolah-olah menganggap yang kita di bawah ini semuanya lembu yang tidak tahu mengira dan membaca.

Kalau perbahasan yang bodoh ini datangnya dari Noh Omar tidak meagapalah kerana itu pun kemampuan ahli parlimen Tanjung Karang itu, tetapi kalau perbahasan yang seperti ini datangnya dari Khairy Jamaludin ianya amat memeranjatkan bukan sahaja saya yang tidak sepertinya ini tetapi juga dari ramai ahli masyarakat yang bertanya kepada saya kenapa universiti teragong dunia ini mengeluarkan produk seperti Khairy Jamaludin.

Apa pun yang berlaku sekarang ini rakyat perlu melakukan tuntutan untuk mendapatkan kembali hidup di dalam sebuah negara yang kita sanjungi seperti yang kita semua alami dahulu.

Caranya ialah untuk rakyat beramai-ramai melakukan pembetulan ini dan yang paling tepat waktunya ialah semasa pilihanraya yang akan datang. Kita tidak mahu lagi membaca lapuran ketua audit negara yang sama kandungannya seperti yang kita sedang baca sekarang ini tertulis dalam lapuranya pada tahun-tahun yang akan datang.

Kepada Khairy elok kita ingatkan supaya janganlah mencari isu yang lembab seperti ini untuk mendapatkan apa yang saudara idamkan dalam UMNO ini. Elok cari isu yang lain kerana kalau beliau masih mempertahankan Sharizat ianya adalah ‘self defeating’ bagi beliau.

Sepatutnya saya tidak masuk campur dalam hal Khairy ini tetapi saya tidak tahu kenapa saya masih ada sedikit ‘soft spot’ terhadap pemimpin muda ini. Khairy ini seorang pemimpin yang baik dan berpotensi tetapi beliau menjadi ahli parti yang salah untuk beliau. Aspan Alias

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular