Tuesday, November 15, 2011

Pemuda PAS desak lucut jawatan Shahrizat Jalil

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) meminta Polis Di Raja Malaysia mengambil tindakan segera dengan menyiasat kes pembelian kondominium menggunakan dana projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Shahrizat Abdul Jalil.

Bagi DPP Malaysia, kes ini amat berat dan penting kerana ianya melibatkan integriti kerajaan serta pemimpin negara. Kes ini sudah menjadi perbualan umum dengan pendedahan demi pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Ia juga amat memberi kesan negatif pada pandangan masyarakat lebih-lebih lagi melibatkan pemimpin negara. Rakyat akan merasa malu jika imej negara menjadi buruk di peringkat antarabangsa kerana pemimpinnya sarat dengan skandal dan penyelewengan kuasa.

Namun demikian, DPP Malaysia merasa ragu terhadap kesudahan episod kes ini. DPP Malaysia curiga adakah Shahrizat akan disiasat dan didakwa, atau terlepas bebas sepertimana kes-kes orang kenamaan sebelum ini. Dalam usia parlimen yang semakin singkat, dan dalam peperangan pilihanraya umum ke 13 yang dikatakan paling sengit semakin hampir, DPP Malaysia tidak yakin tindakan lanjut akan dibuat terhadap beliau.

Sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet Perdana Menteri di bawah pentadbiran Najib Razak, Shahrizat (gambar kanan) adalah insan penting bagi Najib. Tambahan pula Shahrizat merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, dan seluruh tenaga wanita yang menjadi denyut nadi UMNO ada di dalam tangannya. Beliau juga memegang kunci sokongan pengundi wanita yang saban kali menjadi deposit tetap undi UMNO-BN. Dengan sokongan itu melalui kementerian yang dipegangnya itulah, UMNO amat bergantung harap pada beliau.

Kepemimpinan Najib selaku Perdana Menteri akan tercabar dan teruji kali ini. Rakyat akan menilai beliau sebagai pemimpin hipokrit jika berterusan membiarkan korupsi berlaku dalam kabinetnya. Reputasi dan imej beliau sebagai Perdana Menteri pasti akan tercalar teruk. Pastinya kesan besar adalah dalam PRU ke 13 nanti kerana rakyat akan menjadi muak dengan sikap beliau yang tidak tegas dalam menegakkan keadilan dan mencegah kemungkaran.

Justeru, demi memastikan negara tidak dipimpin oleh golongan yang melakukan penyelewengan, DPP Malaysia berpandangan Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan melainkan melucutkan jawatan Shahrizat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluar dan Masyarakat atau menggantung tugasnya sehingga kes ini diselesaikan. DPP Malaysia benar-benar berharap Najib menyucikan kabinetnya sebagaimana usaha beliau untuk menyucikan diri setelah selesai menunaikan ibadah haji.

*Kenyataan media oleh Riduan Mohd Nor selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular