Sunday, July 17, 2011

Siapa kata Bersih 2.0 gagal???

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Bersih 2.0 oleh BN dan konco-konconya mengapa himpunan raksasa rakyat Malaysia itu diadakan. Tuduhan yang paling popular ialah mengaitkannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim; nak tutup isu video, nak alih isu liwat, nak tumbangkan kerajaan melalui kekerasan untuk beliau jadi Perdana Menteri dan macam-macam lagi.


Manusia yang kedua teruk menjadi bahan belasahan BN dalam isu Bersih ialah Datuk Ambiga. Beliau digelar ‘Raja Murtad’ maksudnya ketua bagi segala manusia yang murtad. Bila pula Ambiga pernah menjadi Islam tiba-tiba jadi murtad? Entahlah, mungkin tidak faham apa itu murtad. BN yang menggubal undang-undang membenarkan orang Islam murtad, tiba-tiba sensitif pula dengan isu murtad. Walhal berdekad-dekad pemimpin parti asobiyah itu asyik mempersenda hudud dan hukum Islam yang boleh menyebabkan seseorang Muslim jatuh murtad.


Lapan tuntutan Bersih 2.0 tiada kena mengena langsung dengan isu murtad atau liwat. Andai kata pihak yang memperjuangkan Bersih bukan Ambiga atau Anwar, maka himpunan Bersih 2.0 tetap akan dihadiri oleh ratusan ribu rakyat Malaysia seperti yang dipamerkan pada 9 Julai lalu.

Mempertikaikan Ambiga dan mengaitkan dengan isu murtad, setelah BN gagal menghalang kebangkitan rakyat tidak lebih dari cubaan mengalih isu. Ia juga merupakan tindakan ‘tak dapat kepala, tanduk dipulas’. Ambiga bukan pemimpin parti politik dalam Pakatan Rakyat. Ambiga bukan ahli politik, dia tidak akan bertanding pilihanraya dan tidak akan jadi Perdana Menteri. Dia memimpin NGO bernama Bersih dengan konsensus dari lebih 60 NGO yang bergabung di dalamnya kerana profesionalismenya di bidang guaman serta relevan dengan isu yang diperjuangkan. 

Macam jurulatih bolasepak kebangsaan Jayagopal dipilih. Apabila seluruh rakyat malaysia menyokong pasukan Malaysia, apakah bermakna mereka telah menyokong agama hindu anutan Jayagopal? (Tidak pasti dia Hindu atau Kristian tapi yg pasti dia kafir) Tidak cerdik sangatlah jika ada pihak yang mempertikaikan Jayagobal dipilih sebagai jurulatih kerana dia India non-Muslim. Tiada kena mengena ketuanan Melayu dengan bolasepak. Itu tamsilan yang sangat mudah untuk difahami.
Selepas himpunan Bersih 2.0 yang berjaya menghimpunkan beratus ribu rakyat jelata, muncul pula soalan, apa yang penganjur himpunan Bersih dapat selain dari (kononnya) menyusahkan orang ramai? Sebenarnya yang jadi punca rakyat susah ialah kawalan dan sekatan yang bukan-bukan oleh pihak tertentu atas arahan BN. Namun beban kesusahan yang dihadapi rakyat tidaklah seteruk beban kesusahan Datuk Seri Najib Tun Razak dan juak-juaknya merasa ketakutan yang luarbiasa terhadap gelombang kebangkitan rakyat menuntut perubahan.

Seperti dijangka lapan tuntutan Bersih tidak akan dipedulikan oleh BN namun banyak manfaat diperolehi dari penganjuran Bersih 2.0, antaranya:

1. Menyerlahkan gelombang kebangkitan rakyat, PR kembali memperolehi momentum untuk memacu perjuangan sehingga pilihanraya setelah agak lama defensif. Tiba-tiba PR dari pucuk pimpinan, aktivis, ahli dan penyokong bawahan kembali bersemangat. Komitment untuk hadir ke program anjuran parti meningkat dengan mendadak di seluruh negara.

2. Berjaya mengkucar-kacirkan dalaman BN. Bila ada kelompok di kalangan mereka yang bersetuju akan demonstrasi (Perkasa dan Patriot) dan ada yang menentang, ada yang setuju Najib tawarkan stadium dan ada pulak yang tidak; maka nampaklah kecelaruan mereka. Dalam media maya, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin adalah mangsa serangan yang teruk oleh laman maya arus perdana UMNO.

3. Memberitahu bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia sudah tidak takut lagi akan ugutan oleh pihak berkuasa kerana mereka sudah celik hak asasi dan tahu undang-undang. Serbuan polis, sekatan jalanraya, pekeliling ketua jabatan tidak dapat menghalang beratus ribu rakyat Malaysia keluar ke jalanraya menuntut demokrasi yang adil. Ramai kakitangan kerajaan serta pelajar IPTA terbabit sebagai peserta demonstrasi, tiada lagi rasa takut.

4. Media-media arus perdana yang dikuasai BN tidak lagi berkuasa melakukan perang saraf, manipulasi dan propaganda untuk menipu rakyat. Keupayaan mereka hanyalah untuk menipu penyokong tegar sendiri.

5. Media-media maya tiba-tiba dikuasai oleh penyokong PR. Serangan bertubi-tubi terhadap BN melalui laman social meningkat secara mendadak.

6. Menyerlahkan kebangkitan golongan muda dalam menentang kerajaan tua BN. Situasi ini amat membimbangkan BN kerana tidak kurang dari 80 peratus peserta himpunan Bersih adalah anak-anak muda. Video perhimpunan dan perarakan Bersih yang boleh diakses dengan mudah di medan maya menunjukkan dengan jelas bahawa golongan muda yang menguasai.

7. Berjaya meruntuhkan reputasi kerajaan BN di mata dunia. Pejuang hak asasi manusia menyenaraikan Perdana Menteri Malaysia sebagai seorang yang tidak layak menerima hamparan permaidani merah di pentas dunia. Apa untungnya jika kerajaan BN ditekan pihak antarabangsa? Untungnya ialah mereka berjaya dilemahkan, justeru tidak berupaya pula menekan pihak pembangkang dengan kekuatan yang maksimum.

8. Pengiktirafan oleh Yang Di-Pertuan Agong terhadap Bersih adalah catatan kejayaan Bersih yang sangat besar. Ia mengesahkan bahawa Bersih bukan pertubuhan haram, perusuh atau pengacau. Khabarnya selepas Bersih terdapat sebuah NGO rasis cuba mohon mengadap Yang Di-Pertuan Agong tetapi tidak berjaya.

9. Menyerlahkan ketakutan BN yang bukan kepalang. Mereka takut perhimpunan aman bertukar jadi revolusi yang menjatuh pemimpin kerajaan macam di Mesir dan Tunisia. Perbagai bentuk provokasi dan manipulasi dibuat untuk menggagalkan Bersih termasuk mengadakan cerita komunis, senjata dan bom petrol.

10. Kejayaan penggembelingan tenaga pelbagai kaum dalam PR. Kalau Bersih kali pertama, hampir keseluruhan peserta adalah berbangsa Melayu tetapi kini pelbagai bangsa turun memberi sokongan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular