Thursday, July 21, 2011

"Liow, Mana Janji Lu Mau Siasat?"

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai agar mendedahkan kemajuan siasatan kementerian itu berhubung insiden di Hospital Tung Shin semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

Tony Pua mengingatkan Liow bahawa parti itu telah menawarkan empat orang saksi ketika polis didakwanya menembak gas pemedih mata dan air bercampur kimia ke dalam perkarangan hospital, tempat peserta perhimpunan itu berlindung.

Keempat-empat mereka ialah ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong serta setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP, Zairil Khir Johari dan beliau sendiri.

"Bagaimanapun, selepas menunggu selama seminggu, kami tak dengar apa-apa dari Liow atau kementeriannya, kecuali janji-janji yang berterusan secara lisan untuk menyiasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tony Pua turut menyuarakan kekecewaannya dengan Liow yang didakwanya "mengelak daripada tanggungjawab".

Tony Pua berkata, ini kerana tidak ada sebarang pengumuman maklumat mengenai "jawatankuasa tinggi" yang mahu ditubuhkan oleh kementerian tersebut bagi menyiasat perkara itu.

Tambahnya, beliau juga mempersoalkan ketiadaan maklumat seperti anggota jawatankuasa tersebut, terma rujukan dan garis masa untuk ia menjalankan siasatan.

Pada 11 Julai lalu, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai.

Bagaimanapun 11 doktor mendakwa sebaliknya.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina, Sabtu lalu.

Seramai 11 doktor menegaskan, mereka kecewa dengan tindakan polis itu tanpa mempedulikan keselamatan pesakit dan doktor.

Justeru, kenyataan itu bercanggah dengan respons Menteri Kesihatan yang telah menafikan polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih ke atas kawasan hospital, sebaliknya tambah beliau ia disebabkan oleh pergerakan angin pada masa kejadian.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Ekoran kenyataan mereka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai memutuskan untuk mengadakan satu jawatankuasa inkuiri tahap tinggi bagi menyiasat insiden pihak polis menyasarkan Hospital Tung Shin. -tvsnews

Insiden Hospital Tung Shin: Kami sedia nanti polis, kata doktor
Oleh Latifah KasmuriJuly 18, 2011KUALA LUMPUR, 18 Julai – Salah seorang daripada 11 doktor Hospital Tung Shin sedia memberi kerjasama dengan polis yang memutuskan untuk mengadakan pasukan khas menyiasat dakwaan mereka bahawa pekarangan hospital itu menjadi sasaran gas pemedih mata dan air berasid, 9 Julai lalu.


Dr Ng Kwee Boon, yang bertugas sebagai perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan berkata, beliau sedia memberi kerjasama jika polis mahu membuat siasatan mengenai perkara tersebut.


“Kalau mereka hendak buat siasatan, kami sedia beri kerjasama. Tetapi buat masa ini, mereka masih lagi tidak ada jumpa saya. Saya sendiri akan menyediakan afidavit berkanun untuk tujuan siasatan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.


Pada 9 Julai lalu, dipercayai polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan Hospital Tung Shin untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0.


Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya akan menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di ibu negara.


Satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor manakala satu lagi pasukan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian itu.


“Kami (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu,” katanya.


Dalam pada itu, ditanya berkenaan Lembaga Hospital Tung Shin sendiri memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai lalu, Dr Ng berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa mereka berkata sedemikian.


“Saya tidak tahu kenapa mereka cakap macam itu. Mereka tidak tahu apa-apa kerana tidak berada di situ,” ujarnya lanjut.


Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina ketika perhimpunan 9 Julai.


“Kami, doktor-dotkor yang menurunkan tandatangan di bawah, tidak mahu menyertai polemik perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi mahu menjelaskan kebenaran tentang keadaan tidak selesa yang wujud (hari itu),” kata mereka.


Selain Ng, 10 doktor lain menandatangani kenyataan itu ialah Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.


“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.


Bagaimanapun, Dr Musa enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.


“Saya tidak mahu komen,” katanya lagi.-TMI
Popout


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular