Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung dakwaan keganasan polis semasa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Rakaman pada 9 Julai itu kemudiannya, menurut Ismail, akan ditayangkan kepada pihak media.
"Saya sangat yakin dapat laporan dalam masa terdekat.
"Akan ada sesi melihat video bersama-sama media dan menjawab persoalan," kata Ismail dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman.
Ismail bagaimanapun enggan menerima seoalan daripada pihak media dalam sesi hari ini.
Beliau sebaliknya menggesa media dan orang awam supaya bersabar dan mengelak daripada membuat sebarang andaian sebelum siasatan tamat.
Menegaskan bahawa pihak polis tidak menyembunyikan sesuatu, Ismail meminta orang ramai menyerahkan gambar dan buktu video bagi membantu siasatan polis.
Ia boleh dilakukan dengan menyerahkan kepada pusat media polis atau menghubungi talian 03-2266 8321/8320.
Sementara itu, Bernama melaporkan, polis memerlukan masa untuk selesai melakukan penilaian dan penelitian oleh enam jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan itu.
"Kita perlukan masa. Kita perlu tahu jumlah sebenar orang ramai yang hadir semasa perhimpunan itu. Kami juga terpaksa temu bual anggota kami sendiri dan memanggil orang awam bagi mendapatkan fakta," katanya.
Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram itu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.
Ismail berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu akan meneliti dan menyiasat kesemua bukti sama ada daripada polis sendiri mahupun daripada Internet bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.
"Akhir-akhir ini, melalui pemerhatian saya (ke atas gambar dan video di Internet), saya dapati ada yang tidak tepat. Oleh itu, saya minta orang ramai bantu kami dengan serahkan bukti untuk membantu siasatan.
"Fakta ini penting supaya kita dapat kaji segala bukti yang ada dan dapat gambaran jelas," katanya kepada agensi berita nasional itu.
Ketika menjelaskan mengenai jawatankuasa khas itu, Ismail berkata ia terdiri daripada pegawai yang berwibawa dan berpengalaman dan jawatankuasa ini telah ditubuhkan minggu lepas yang bekerja 24 jam sehari bagi menyelesaikan siasatan. -mk
Rakyat Tertunggu-Tunggu Video PDRM-Prof Aziz BariKenapa masih belum ada rakaman Video, sedangkan pihak PR telah mengUPLOAD berpuluh Klip Video ke YouTUBE
Rakyat tertunggu-tunggu jika pihak kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai bahan bukti bagi menjelaskan situasi sebenar ketika Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu sehingga polis terpaksa bertindak mengasari rakyat.
Bagaimanapun bahan bukti seperti video itu janganlah pula disunting atau ditokok tambah sehingga boleh menyebabkan situasi yang berlainan dipaparkan kepada rakyat,tegas Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis menyegerakan siaran rakaman video serta bukti lain bagi menghalalkan tindakan polis menyuraikan orang ramai pada 9 Julai lalu.
“Ya pada saya terpulanglah kalau polis ada video, bukti dan sebagainya boleh dkemukakan, tinggal lagi kita tak mahulah video atau gambar itu diubah-ubah atau ubah suai sebagainya seperti yang kita lihat dalam NST dan Berita Minggu baru-baru ini. Gambar itu sudah diubahsuai sudah disunting dan sebagainya dipaparkan, jadi kekeliruan itu tak bolehlah.
"Sama juga dengan video... jika video itu sudah disunting, dipotong dan sebagainya (tetapi) kita harap jangan begitulah,"kata Aziz kepada Tv Selangor.
Muhyiddin sebelum ini berkata, media dalam dan luar negara dilihat melakukan tohmahan kepada pihak polis dengan hanya menyiarkan rakaman video pihak polis menyuraikan orang awam.
Namun katanya, video-video yang dipamerkan tidak pula memuatkan tindakan para peserta yang sengaja melakukan provokasi dan bertindak ganas membaling batu.
Hakikatnya hujah Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ada asasnya apabila Berita Minggu pada 10 Julai lalu memaparkan watak seorang peserta yang disifatkan ganas dengan memanipulasi tindakan peserta itu pada hari kejadian.
Abdul Razak Endut, individu yang dipaparkan gambarnya di muka depan akhbar itu dikatakan bertindak membalas serangan pihak polis ke atas orang awam.
Malah beliau didakwa membawa pisau dan membaling batu ke arah polis.
Namun menceritakan apa yang berlaku pada hari itu, Abdul Razak yang merupakan Unit Amal PAS berkata, beliau hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti yang dilaporkan akhbar milik Umno-BN itu pada ceramah PAS malam tadi.
"Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat,"ujar beliau.
Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan oleh Reuters yang sekaligus menolak dakwaan beliau memegang pisau.
"Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara),” katanya.
Justeru itu menurut Aziz, beliau agak sangsi dengan rakaman video mahupun gambar yang bakal dipaparkan oleh PDRM sendiri.
"Dan saya fikirkan kalau bahan-bahan bukti itu ada, sudah lama dikeluarkan.. tak perlu tunggu lama sehingga sekarang setelah diserang, dikritik bertubi-tubi belum ada yang kita lihat. Begitu juga tuduhan polis tembak air ke hospital, itu sudah banyak dikemukakan bukti dan nampaknya selepas itu kerajaan dan polis cuba pula buat siasatan lain.
"Kalau mereka ada (bukti) mereka boleh keluar lebih awal lagi sebelum mereka diserang. Sebenarnya sebelum himpunan Bersih itu pun pihak polis telah dikecam dan dikritik begitu hebat. Jadi mengapa perlu tunggu lama untuk mengeluarkan bukti yang ada," kata Aziz.
Namun ujar beliau, jika polis berani bertindak menyunting mahupun menokok tambah video sedia ada, ia hakikatnya boleh menjadi boomerang kepada PDRM sendiri.
“ Bukti-bukti seperti itu bukan saja tak menyakinkan tetapi menjadi boomerang juga boleh menjauhkan lagi imej pasukan polis.
" Dan saya fikir dalam hal ini, saya rasa pihak kerajaan janganlah menarik polis begitu teruk atau melibatkan pihak polis sebab kalau imej dan kredibiliti polis itu jatuh begitu teruk...yang menerima kesan ialah rakyat,"tambah beliau lagi.-tvsnews
Ulasan GB
Popout
GB amat yakin bahawa video versi PDRM adalah video yang direkayasa untuk menunjukkan bahawa polis tidak melakukan keganasan seperti yang rakyat telah merasainya sendiri di hari perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.
Siasatan polis terhadap polis biasanya berat sebelah, biasanya tidak menjelaskan "hal yang sebenar".
Mengenai video PDRM yang bakal ditayangkan, KPN dan Timbalannya perlu bertanggungjawab jika terbukti ia adalah hasil suntingan dan bukan "raw material" daripada kejadian sebenar. Kerana sebarang suntingan dan rekayasa, adalah satu penipuan kepada rakyat.
Apa-apa pun kita sama-sama tunggu.
Kita berharap SUHAKAM akan meneruskan proses inkuirinya sehingga selesai. Ia lebih diharapkan dan diyakini.
No comments:
Post a Comment