Friday, July 22, 2011

Bekas Menteri minta Najib kembali ke pangkal jalan


KUALA LUMPUR, 22 Julai — Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.

Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik,” kata beliau.

“Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir (gambar) sambil menambah, “merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat.”

“Negara ini kepunyaan rakyat... negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan.

Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil.

Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya.

“Bila sudah merdeka rakyat perlu pilih kerajaan, kita adakan pilihan raya sebab rakyat ramai, rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan),” katanya.

Kata beliau, “sejak akhir-akhir ini kita dengar macam-macam tentang pilihan raya bersih dan adil itu adalah asas sistem pilihan raya.”

“Kalau tidak telus macam mana rakyat nak pilih... kerajaan kata pilihan raya (sekarang) sudah bebas, itu pandangan dia tapi pandangan lain (termasuk) Bersih 2.0 kata pilihan raya tidak telus,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan agar wakil pembangkang diletakkan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketelusan sistem yang ada sekarang.

“Ada cadangan minta wakil pembangkang duduk dalam SPR, saya setuju... kalau kerajaan kata pilihan raya bersih buatlah, apa nak takut, selesai masalah.

“Kerajaan tahu pilihan raya itu bersih atau tidak, rakyat pun tahu, kita pun tahu... biarlah bersih betul supaya rakyat dapat pilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat membanjiri ibu negara untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil yang turut disertai Pakatan Rakyat.  [Malaysian Insider]


Amanah Merdeka Selamat Dilancar
HARI ini Jumaat, 22 Julai 2011 tanpa gegak gempita dan nafiri menghebuhkan mengenai kewujudannya, sebuah Ngo yang diberi nama Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) telah dilancarkan dengan rasmi oleh presidennya sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

Upacara yang berlangsung di Aditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur ITU berjalan dalam suasana penuh bersemangat dan penuh keinsafan untuk membela bangsa dan membangunkan negara.

Pemilihan tempat perlancaran Amanah itu tentulah untuk mengembalikan nostalgia masa lampau, sejarah dan juga kenangan yang pernah mengemilangkan bangsa negara ini. Amanah itu sendiri antara membawa tujuan dan maksud untuk merealisasikan segala amanah, ikrar atau pesaka perjuangan yang ditinggalkan oleh Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama Malaysia.

Kewujudan Amanah dalam keadaa negara penuh dengan kemelut politik hari ini, di mana orang Melayu dilihat sudah kabur identitinya kerana tergilakan kuasa politik dianggap tepat dan kena pada masanya. Tujuannya dan fungsinya untuk membendung kemudharatan dalam negara baik dalam soal rasuah, perpecahan kaum dan sebagainya dirasakan kena pada ketika dan dan musimnya.

Amanah seperti mana dicatat pada buku cenderamata (muqadimahnya) bukan pertubuhan politik tetapi sebuah Ngo yang menggabungkan suara rakyat dari pelbagai lapisan tanpa mengira bangsa untuk membela negara. Amanah juga bukan sebuah badan pendesak dan protes tetapi lebih kepada badan pemantau kepada kerajaan hari ini atau kerajaan masa depan.

Adapun kewujudannya ialah kerana rakyat sudah tidak tahan lagi dengan kerenah dan segala macam kebejatan yang berlaku di dalam negara hari ini yang ditimbulkan oleh parti yang memerintah. Misalnya masalah rasuah yang berleluasa, pencabulan undang-undang, pilihan raya yang kotor telah menjadi ilham kepada perwujudan Amanah ini.

Ngo ini yang diharap akan menjadi pemangking kepada negara dan bangsa Malaysia bakal menjadi popular dan mendapat sambutan ramai. Sekiranya nawaitu dan juga matlamat seperti digariskan dapat dilaksasnakan, tidak ada sebab untuk orang Melayu dan bangsa Malaysia tidak bergabung dengan NGO ini untuk mewujudkan jaringan suara yang terbesar bagi membela negera.

Hakikat Amanah mendapat sambutan dan bakal menjadi Ngo yang berwibawa terbayang apabila rata-rata mereka yang hadiri memberi sokongan terdiri daripada teknokrat, bekas para pegawai kerajaan yang cukup berpengalaman sebagai organ pentadbir dan memimpin negara ini. Mereka terdiri daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian, diplomat, sasterawan dan juga ahli politik yang mempunyai wibawa dan track rekod yang bersih selama penceburan diri mereka dalam politik.

Ahli-ahli politik yang menyertai Amanah ini juga adalah individu yang sudah jelek atau pun tidak sanggup untuk terus berkomromi dan bersubahat dengan parti yang memerintah hari ini. Kalau kebetulan mereka dari Umno, bukan bermakan mereka tidak suka kepada Umno tetapi mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin dan melihat pemimpin yang ada hari ini bukan saja lemah tetapi tidak ada karisma.

Mereka yang menggerakkan Amanah ini adalah gabungan dari semua kumpulan dan lapisan rakyat tanpa mengira ideologi dan sanggup mengenepikan kepentingan peribadi. Tegas seperti mana diharapkan Tengku Razaleigh ialah mereka yang mempuyai fikiran baik.

Meneliti kepada matlamat dan suasana yang mewujudkan Ngo ini ia tidak perlu dibimbangi oleh mana-mana parti politik termasuk yang sedang berkuasa atau yang sedang untuk mendapat kuasa. Matlamat Amanah adalah sama untuk mewujudkan kerajaan yang bersih dan berwibawa, menentang rasuah dan ketidakadilan.

Itulah hasrat dan itulah matlamat. Manakala apa yang mendorong ianya diwujudkan kerana rasa bimbang terhadap nasib dan masa depan negara dengan apa yang berlaku kini.

Dalam pada itu saya melihat Amanah akan beritndak sebagai pemantau kepada mana-mana pihak yang berkuasa hari ini dari pada melakukan kesilapan atau pun penyalagunaan kuasa yang membebankan rakyat. Dengan keanggota atau partisifasi ahli yang berpengalaman ia boleh menjadi pemandu atau tunjuuk ajar. Sekiranya parti politik ikhlas untuk berjuang demi rakyat maka parti politik harus menerima baik kewujudan Amanah ini di samping sedia melakukan mahasabah diri dengan mengambil kira teguran dan krtitikan Ngo ini.

Secara ringkas apa yang dapat diungkapkan di sini antara tujuan atau pun suasana yang melahirkan Amanah ini seperti berikut;

1. Untuk melahirkan suara baru perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

2. Menyalahkan semula semangat amanah Merdeka.

3. Menyeru supaya isi dan semangat Perlembagaan Malaysia di hormati dan dipertahankan.

Manakala misi Amanah ialah; untuk menegaskan semula, untuk menanam dan menyemarakkan rasa kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang mendalam di kalangan rakyat seperti yang pernah berlaku di kalangan rakyat semasa bersama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan kebangsaan kita.

Majlis perlancaran tadi dihadiri sekitar 500 orang ini menyebabkan aditorium Tuanku Abdul Rahman penuh sesak. Kehadiran diluar jangkaan. Antara tokoh politik yang turut hadir ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ketua parti Kita, Zaid Ibrahim, dan lain-lain.

Ahli Parlimen Pasir Mas Inchek Ibrahim Ali yang katanya sudah diundang untuk hadir sama tetapi terpaksa dibatalkan saat-saat akhir atas protes beberapa individu.

Majlis Pusat Amanah seperti berikut:

Presiden : Tengku Razaleigh Hamzah.
Timbalan: Daniel Tajem, Ong Tee Keat (bekas Presiden MCA), Abdul Kadir Sheikh Fadzil (bekas menteri), Subramaniam (bekas timbalan Presiden MIC), Wilfred Bumburing (Sarawak), Bujang Ulis bekas menteri).
Naib Presiden: Wan Saiful Wan Jan, Dr Pater Rubis, Ong Hock Siew, Mohd Azmi Razak, Ragunnath Kesevan, Simon Sipaun, Mohd Lukhman Ghani. [wm.kl.7:50 pm 22/07/11]


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular