Sukar bagi saya untuk melupakan detik yang menyayat hati ketika berdepan sikap anggota polis menangani himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.
Peserta himpunan turun sebagai rakyat prihatin, berbekalkan tekad dan semangar, tanpa membawa sebarang senjata. Mereka juga tiada kad yang boleh melepaskan diri daripada sekatan polis dengan mudah. Berbeza saya, wartawan, yang ada sedikit kemudahan untuk meloloskan diri daripada pelbagai halangan. Namun, ada juga pegawai polis yang cuba menyekat kemaraan saya.
Peserta himpunan turun sebagai rakyat prihatin, berbekalkan tekad dan semangar, tanpa membawa sebarang senjata. Mereka juga tiada kad yang boleh melepaskan diri daripada sekatan polis dengan mudah. Berbeza saya, wartawan, yang ada sedikit kemudahan untuk meloloskan diri daripada pelbagai halangan. Namun, ada juga pegawai polis yang cuba menyekat kemaraan saya.
Setiba di Jalan Pudu, setelah berjalan dari Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut, saya melihat peserta himpunan yang berada 100 meter dari Pudu Raya bertempiaran. Saya kira mereka berada di hadapan hospital Tung Shin.
Bau gas pemedih mata terasa. Mata mula pedih. Saya berhenti di bawah jejantas Pudu Raya. Saya memerhatikan dari jauh tindakan polis yang menyembur air dan gas pemedih mata.
Selepas 10 minit, keluar polis beruniform dan yang berpakaian biasa membawa tahanan ke depan Menara Maybank. Saya mengambil gambar tahanan yang tangan bergari ke belakang. Pakaian mereka basah. Mata merah. Apabila melihat saya mengambil gambar, mereka melaungkan: “Islam akan menang!” Balas saya: “Ya... ya... pasti.”
Ada di antara mereka, sambil berjalan, masih sempat mengadu: “Kak ... saya dipukul, saya tak lawan tapi dipukul juga.” Saya cuba bertanya siapa nama, tetapi polis yang mengiringi tahanan menengking: “Ha... jalan, jalan!”
Tangan mereka diikat ke belakang dengan tali plastik putih. Saya terharu melihat yang ditangkap majoritinya golongan muda Melayu, India dan Cina. Saya melihat semua yang ditahan berasa bangga dan tidak sedikit pun nampak ketakutan di wajah mereka.
Beberapa saat kemudian saya mendengar suara memangggil: “Kak... kak.” Saya menoleh. Saya melihat peserta berbaju biru, (yang sebelumnya senyum pada saya, kerana mengambil gambarnya) “tergolek” ke jalan sambil mata terpejam dan mengerang kesakitan.
Segera saya mendekatinya. Menyaksikan saat-saat tidak terduga itu, kawan yang bersama saya terus mengajar lelaki itu mengucap dua kalimah Syahadah. Polis yang membawanya, terus memegang tangan beliau. Namanya, Suhardi Md Isa.
Saya terus merakamkan gambarnya. Suhardi mengerang kesakitan. Kedengaran suara menjerit: “Buka gari dia ... buka gari dia!” Malangnya, polis hanya tercegat dan diam membatu.
Kawan bersama saya terus mengajar “mengucap” sambil tangannya memegang dada dan nadi Suhardi. Polis mengelilingi kawasan itu. Saya dengar suara perempuan menangis. Saya melihat seorang gadis berjilbab hitam, tapi saya tidak mendekatinya.
Saya tinggalkan gadis itu terus menangis. Saya melihat polis semakin ramai mengeliling Suhardi tetapi mereka tidak pula menolong. Malah, mereka tidak berusaha membuka gari Suhardi. Saya kegelisahan dan sebak mendengar suara Suhardi mengerang kesakitan.
Lalu, saya menjerit ke arah polis, “panggillah ambulans.” Tapi polis hanya melihat saya dan diam. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Orang ramai yang berada di kawasan itu menjerit: “Siapa gari tangan dia? Polis kena bertanggungjawab, jangan lari…” Saya memerhatikan gelagat polis yang hanya diam, sekadar memerhati – tiada apa yang dilakukan.
Saya dengar suara polis menjerit bertanya orang ramai sambil mendongak jejantas Pudu Raya: “Siapa ada pisau?” Seseorang menjawab: “Mana ada pisau ... Ha, tuduh lagi kita orang bawa senjata.”
Dalam suasana sedih begitu, jiwa saya tercuit, macam hendak tergelak.
Akhirnya, gari Suhardi dapat dibuka hasil usaha orang ramai. Saya memerhatikan ada pemuda Cina turut membantu membuka gari Suhardi. Ada yang menyapu air ke muka Suhardi. Ada yang membuka bajunya dan mengipaskannya.
Semua dilakukan peserta himpunan. Polis hanya tercegat. Mungkin menunggu arahan daripada ketua. Saya tidak nampak pun polis memegang telefon atau mendengar suara mereka menghubungi ambulans.
Trak dan landrover bomba lalu tapi mereka hanya menjenguk tanpa berhenti. Lebih menyakitkan hati, dalam keadaan begitu polis tetap menunjukkan kuasa mereka. Mereka terus menengking supaya orang ramai tinggalkan kawasan Pudu Raya dan jangan mencabar polis.
Saya memerhatikan seorang pegawai polis kasar menengking, “Sapa suruh berdemo? Ini kerja bodoh,” sambil memandang peserta himpunan yang berada di jejantas Pudu.
Dalam tempoh lebih 30 minit, kereta peronda polis datang dan membawa Suhardi ke hospital.
Begitu lambat polis bertindak menyelamatkan beliau. Polis lebih cekap dan pantas menggari peserta himpunan tetapi tiada langkah bertindak untuk tangani masalah berbangkit. Mereka juga pantas mengejar peserta demo. Malangnya mereka lembab memberi bantuan kepada Suhardi.WARTAUTARA
No comments:
Post a Comment