Friday, June 24, 2011

Bekas EXCO kata KJ tak kenal asal usul Umno, tak reti memimpin


GARA-GARA TIDAK KENAL, KHAIRY TERTIKAM SAUDARA SENDIRI

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Kamarulzaman Kamdias didalam blognya berpendapat bahawa Khairy Jamaludin jelas menunjukkan sudah semakin hilang fokus selaku Ketua Pemuda UMNO kerana dilihat tidak mengetahui bagaimana mengawal pergerakan Pemuda UMNO hari ini.

Menurutnya, jika pemuda umno diibaratkan sebatang pokok, 'ke atas tidak berpucuk, ke bawah tidak berakar, di tengah pula sedang reput dilerek kumbang'. Itulah gambaran halatuju perjuangan pemuda umno di bawah pimpinannya.

"Selaku sayap kanan UMNO, pemuda sudah tidak lagi berfungsi sebagaimana lazimnya ia patut berfungsi. Sedangkan, Pemuda UMNO selaku tulang belakang Pemuda Barisan Nasional (BN) tetapi tidak mengetahui peranan dan di mana haluan yang harus dimainkan
.

"Bila harus pemuda bertindak mendahulukan perjuangan selaku sayap pemuda UMNO dan bagaimana a selaku pengerusi BN harus berhadapan dengan pembangkang dalam memperjelaskan konsep 1Malaysia menurut versi Barisan Nasional, tetapi Khairy terikut dengan rentak dan hujah idea 1Malaysia versi DAP.

"Peranan selaku Pemuda UMNO sepatutnya tegas menjunjung prinsip asas perjuangan UMNO dalam membela agama, bangsa dan tanah air tetap ia tidak lagi menjadi pertimbangan pemuda.

"Pemuda UMNO sepatutnya lebih pribumi perjuangannya dan seharusnya berfungsi sebagai pendesak dan pengimbang dalam memastikan ideologi perjuangan asas umno berada terus di landasan seperti yang digariskan oleh perlembagaan parti. Itulah fungsi pemuda sejak awal penubuhannya," katanya.

Kamarulzaman berkata, Ketua Pemuda UMNO selaku pengerusi pemuda BN juga harus memastikan pemuda BN bergerak sealiran dengan prinsip, misi dan matlamat perjuangan BN yang mengamalkan konsep persefahaman dan perkongsian kuasa.

Ketua Pemuda juga harus memastikan ideologi dan gerakerja pemuda BN tidak bertentangan di dalam perkara-perkara asas permuafakatan sesama BN tetapi beliau dilihat seperti tidak mengetahui cara mengimbangkan tanggungjawabnya sebagai ketua pemuda umno dan pada masa pengerusi pemuda BN.

"Apabila timbul isu memerlukan sokongan dan desakan dari Pemuda UMNO dalam memastikan segala peruntukan dan hak istimewa melayu yang disebut di dalam perlembagaan dipertahankan dan tidak diganggu gugat.

"Tetapi Khairy bertindak mengikut perspektif kononnya sebagai seorang pengerusi pemuda BN, harus bersifat 1Malaysia. Tetapi hakikatnya dia terikut-ikut dengan 1Malaysia versi DAP.

"Sepatutnya dia selaku pengerusi BN harus memegang prinsip 'permuafakatan dalam perkara pokok' yang dipersetujui bersama, iaitu taat dan akur dengan apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan negara.

"Jika permuafakatan itu harus dirumus menurut konsep 1Malaysia, ia harus didefinisikan secara jelas dan difahami bersama dengan seluruh anggota pemuda BN supaya prinsip itu tidak bertentangan dengan apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan.

"Perdana Menteri (PM) sendiri telah berulang kali menekankan konsep 1Malaysia tidak sama sekali mengenepikan apa-apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan," katanya lagi.

Menurutnya, kesilapan dan kealpaan terbesar Khairy ialah kegagalan beliau selaku ketua pemuda UMNO dan pengerusi pemuda BN mendalami sendiri bagaimana konsep 1Malaysia harus dibawa seperti yang digariskan oleh PM.

Akhirnya, Khairy mengambil perspektif dan pemikiran sendiri dalam mengolah dan menggayakan kepimpinannya yang pada anggapannya selari dengan 1Malaysia yang dibawa oleh PM, walhal pada hakikatnya hujah dan tindakannya telah beberapa kali memberi bola tanggung kepada DAP.

Lebih buruk lagi ialah apabila Khairy selaku ketua pemuda sudah tidak kenal asal usul keturunan dan darah perjuangan umno.

"Jika di dalam adat perpatih yang dipegang kuat terutama oleh masyarakat di Rembau dan Kuala Pilah, tidak dibenarkan kahwin sama sesuku. Ia memberi gambaran betapa rapatnya hubungan darah antara mereka kerana sesama suku pun dianggap sebagai saudara sendiri.

" Rasional tersiratnya, jika berkahwin sesuku pun tidak dibenarkan, apa lagilah untuk dimusuhi saudara sedarah sedaging sendiri. Pelanggaran ini menurut adat amat keras hukumannya.

" Ia boleh jatuh kepada melanggar sumpah setia seperti yang telah dimeteri di antara Dt.Ketemanggungan dan Dt.Perpatih Nan Sebatang yang telah meletakkan asas syarak mengata dan adat memakai.

"Apabila kita sudah tidak kenal asal usul perjuangan UMNO, bagaimana kita mahu memimpin? Bolehkah kita harapkan seseorang yang buta menjadi penyuluh jalan?

"Apabila kita berpedomankan seseorang yang buta untuk menyuluh hidup, itu memberi gambaran betapa mala petaka kepada bangsa melayu sudah sampai ke cucur atap.

"Kita lihat hari ini bagaimana pemuda UMNO dengan begitu bangga mengistiharkan perang terhadap perjuangan yang sepatutnya dijuarai sendiri oleh pemuda.

' Tetapi disebabkan pemuda sudah tidak kenal asal usul perjuangannya, pemuda telah bertindak memerangi sendiri golongan yang cuba membela perjuangan yang sepatutnya dijuarai oleh pemuda umno," katanya.

Akibat dari meletakkan seorang yang buta sebagai penyuluh, maka seluruh institusi pemuda umno hari ini secara tidak disedari telah melanggar sumpah perjuangan datuk nenek mereka untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air hingga ke titisan darah terakhir.

Angkara buta perjuangan, pemuda telah memusuhi Perkasa yang saling tak tumpah memperjuangkan apa yang telah puluhan tahun diperjuangkan oleh para pengasas UMNO.

Akibat tidak mengenali asal usul dan darah perjuangan yang mengalir di dalam tubuh Perkasa adalah darah perjuangan sama yang mengalir di dalam tubuh UMNO, hari ini Khairy telah mengeluarkan keris dari sarung untuk merodok perut saudara sedarah dan seperjuangannya sendiri.

Ketajaman senjata perjuangan pemuda yang sepatutnya dihalakan kepada musuh bersama sebaliknya telah dihalakan kepada PERKASA yang teguh membela agama, bangsa dan tanah air sepertimana yang digariskan oleh perlembagaan negara.

"Jika khairy dan rakan-rakannya cuba memperkecilkan mitos atau realiti persumpahan Dt Ketemanggungan dan saudaranya Dt Perpatih sebagai sesuatu yang tahyul, dia bebas untuk berkata demikian.

"Tetapi apa yang jelas dan pasti ialah, barang siapa yang turut menghulur tangan menyumbang kepada runtuhnya kedaulatan agama, bangsa dan tanah air, pasti akan dimakan sumpah.

"Sejarah telah membuktikan golongan yang tersepak naik, terlanda turun atau naiknya tidak berjenjang, turun tidak pula bertangga, lambat laun pasti akan dihukum akibat dari perbuatan tangan-tangan sendiri," katanya.

Sejarah tidak pernah mungkir. Jika tuhan masih menyayangi sesuatu kaum itu atas sebab-sebab yang dipandangNya masih mempunyai sifat-sifat terpuji dan mulia, sudah pasti Dia tidak akan membiarkan perjuangan ini diwarisi oleh mereka yang buta usul asal dan perjalanan bangsanya sendiri.

Sumber daripada blog Kepal Nasi, Kepal Beras (Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia (2004 - 2008), Kamarulzaman Kamdias)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular