Thursday, June 23, 2011

Polisi dividen: Petanda ‘kantung’ BN makin kosong


SYARIKAT Berkaitan Kerajaan (GLC) kini dijadikan sasaran untuk menyelamatkan Umno Barisan Nasional (BN) dari kesempitan wang. Polisi dividen yang diutarakan memperlihatkan petanda-petanda bahawa Umno dan kerajaan Persekutuan BN kini semakin kesempitan wang, sehingga mengintai dividen dari syarikat GLC.

KUB Malaysia Bhd yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan Kementerian Kewangan memaklumkan pada 14 Jun lalu bahawa syarikatnya merancang untuk melaksanakan polisi dividen mulai tahun 2013 – mengagihkan dividennya kepada pemegang saham. 

Kebetulan, Petronas Nasional yang merupakan penyalur wang utama kepada kerajaan Persekutuan mengumumkan pada minggu lalu bahawa syarikatnya telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Najib, untuk melaksanakan polisi dividen 30 peratus mulai tahun 2013.

Polisi dividen yang dimaksudkan adalah, sesebuah korporat menentukan satu kadar yang tetap untuk agihan dividen, dengan mengeluarkan keuntungan bersih pada kadar tertentu, untuk dijadikan dividen dan diagihkan kepada pemegang saham. 

Mengambil contoh Petronas Nasional, polisi dividen 30 peratus membawa makna bahawa, syarikatnya telah menetapkan dividennya pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih – untuk diagihkan kepada pemegang saham saban tahun pada kadar yang tetap ini.

Umno BN paling dimanfaatkan
Menurut laporan Bernama, Pengarah Urusan KUB Malaysia Bhd, Mohd Nazar Samad memaklumkan kepada media pada 14 Jun lalu bahawa syarikatnya merancang untuk melaksanakan satu polisi dividen mulai tahun 2013, dan beliau berharap ia dilaksanakan setelah syarikatnya mencapai paras pertumbuhan yang stabil.

Kini, KUB Malaysia Bhd mengagihkan dividen kepada 75,000 orang pemegang sahamnya berasaskan keuntungan daripada projeknya. Pada tahun kewangan 2010, syarikatnya mengagihkan dividen 2.4 sen per unit saham.

Menurut laporan tahun kewangan 2010, dua pemegang saham terbesar KUB Malaysia Bhd adalah Gaya Edisi Sdn Bhd (29.62 peratus) dan Kementerian Kewangan (22.55 peratus). Menurut maklumat yang diumumkan di Bursa Malaysia, pemegang saham terbesar Gaya Edisi Sdn Bhd adalah Temasek Padu Sdn Bhd, dan Temasek Padu kini adalah pemegang harta parti pemerintah terbesar, Umno.

Najib Razak telah menstruktur semula harta parti Umno setelah mengambil alih tampuk pimpinan. Harta Umno telah dimasukkan ke bawah Temasek Padu, dan syarikat ini dikuasai oleh orang rapatnya, Zulkifly Rafique, pengasas firma guaman Zul Rafique & Partners, dan seorang lagi peguam dari firma guaman ini, Tunku Alizan Raja Muhammad Alia.

Seandainya KUB Malaysia Bhd melaksanakan polisi dividen pada 2013, maka jelas Umno dan Kementerian Kewangan akan mendapat manfaat terbesar. Menurut model polisi dividen, Umno dan Kementerian Kewangan akan mendapat dividen pada kadar yang tetap dari KUB Malaysia Bhd setiap tahun.  Kini, Najib Razak adalah Menteri Kewangan, merangkap Presiden Umno.

KUB dapat projek mega
KUB Malaysia dijangka bakal mendapat satu projek hospital kepakaran kanak-kanak yang bernilai RM3 bilion bersama IJM Corporation Bhd.  Di bawah kontrak yang sama, KUB Malaysia bersama IJM bakal mendapat kontrak konsesi untuk mengendalikan hospital tersebut selama 30 tahun.

Sejuga berniat untuk mendapatkan projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur kedua, yang bernilai RM250 juta, termasuk pembinaan landasan kapal terbang ketiga dan landasan teksi.

KUB Malaysia juga pengedar gas asli cecair (LNG) yang utama di Malaysia, membawa jumlah perolehan antara RM280 juta hingga RM320 juta setiap tahun. KUB Malaysia juga sedang membida untuk perusahaan LNG Shell Malaysia. 

Jikalau pembidaannya berjaya, maka syarikat tersebut akan berpeluang untuk menjadi pengedar LNG kedua terbesar, dijangka menyumbang perolehan RM2 bilion setiap tahun, malah akan meningkatkan nisbahnya dalam pasaran dari 12 peratus kepada 32 peratus.

Apa yang menarik, syarikat joint venture antara KUB Malaysia Bhd dengan Malaysia Steel Works (KL) Bhd juga berjaya mendapat satu projek inter-city commuter trainbernilai RM1.23 bilion di bawah Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Polisi dividen serentak pada tahun 2013?
Sementara itu, Petronas mengumumkan pada minggu lalu, bahawa syarikatnya telah mencapai persetujuan bersama kerajaan Najib bahawa mereka akan menetapkan pengagihan dividen kepada kerajaan pada kadar tetap 30 peratus (daripada keuntungan bersih) mulai tahun 2013. 

Dua tahun kebelakangan ini, Petronas telah mengagihkan dividen setinggi RM30 bilion setahun kepada kerajaan Najib.

Dari perhitungan yang sedia ada, sekurang-kurangnya dua buah GLC yang berkaitan dengan kerajaan persekutuan dan Umno akan melaksanakan serentak polisi dividen pada tahun 2013. 

Dengan kata lain, kerajaan persekutuan dan Umno akan mendapat dividen yang tetap daripada GLC ini mulai tahun 2013. Seandainya ini satu polisi yang ditetapkan, maka dijangka lebih banyak GLC yang akan mengikut “kerangka” ini.

Petanda-petanda ini memperlihatkan kerajaan Najib dan Umno kini semakin kesempitan wang, lantas cuba mendapatkan sumber kewangan dari GLC.

Harta semakin berkurangan
Pada hakikatnya ia bukan sesuatu yang berada di luar dugaan. Kerajaan Persekutuan telah melabur sejumlah RM26.49 bilion ke atas 104 buah syarikat GLC melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, namun kerajaan hanya boleh bergantung kepada Petronas untuk mendapat pulangan yang nyata melalui dividen Petronas.

Dengan penetapan polisi dividen ini, pendapatan yang boleh diambil dari Petronas dijangka berkurang dari sebelumnya, namun langkah ini sebenarnya menyasarkan GLC yang lain, menyedari bahawa kerajaan tidak boleh bergantung kepada Petronas selama-lamanya.

Laporan Audit Negara menunjukkan, daripada 25 GLC yang mendapat keuntungan pada 2008, hanya 13 GLC yang mengagihkan dividen kepada kerajaan Persekutuan, dan hanya empat buah GLC yang mengagih dividen berturut-turut untuk tiga tahun (2006-2008).

Antara tahun 2006 hingga 2008, Petronas menyumbang RM159.73 bilion dalam bentuk cukai dan dividen kepada kerajaan Persekutuan – lebih 98 peratus daripada sumbangan cukai dan dividen GLC. Selain itu, Petronas telah mengagihkan dividen sejumlah RM84 bilion kepada kerajaan dalam tempoh tiga tahun tersebut – 99.8 peratus daripada dividen yang diperolehi kerajaan daripada GLC.

Apakah polisi dividen yang menetapkan kadar pada 30 peratus ini sebagai persediaan kerajaan Umno BN berdepan dengan kekosongan wang pada tahun selepas 2013? Lebih-lebih lagi PRU-13 dijangka diadakan pada hujung tahun ini atau tahun 2012, yang sudah tentunya menelan kos yang tidak kurang. 

Apakah keadaan ini mendesak kerajaan Umno BN untuk menggubal polisi dividen, agar memastikan pendapatan yang stabil dari GLC yang untung?

* Penulis merupakan Pembantu Editor MerdekaReview, edisi bahasa Mandarin. Rencana ini dipetik, diterjemah dan disunting dari teks asal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular