Thursday, June 23, 2011

KDNK suku kedua sederhana 4.4%


KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini,

sebahagian besarnya akibat impak teruk gempa bumi di Jepun serta pergolakan politik di Timur Tengah dan Afrika Utara, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Ia berkata meskipun wujud risiko luaran, unjuran menyeluruh bagi tempoh separuh kedua tahun ini dilihat sebagai antara pertumbuhan tertinggi, dengan kesan asas semakin pulih dan jangkaan kitaran peningkatan sudah bermula.

“Disokong unjuran perbelanjaan swasta yang lebih tinggi yang dirangsang oleh Program Transformasi Ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar akan berkembang kepada 6.8 peratus pada separuh kedua tahun ini.

“Oleh itu jika tiada sebarang peningkatan faktor risiko luaran, kami mengekalkan unjuran KDNK pada 5.7 peratus tahun ini,” kata Kenanga dalam unjuran ekonomi bagi separuh kedua tahun ini di sini hari ini.

Kenanga berkata berdasarkan prospek pertumbuhan dijangkakan lebih tinggi pada masa depan, ia menjangkakan pemerintahan tampuk negara akan memanfaatkannya dan mengumumkan pilihan raya umum yang ditunggu-tunggu pada suku kedua tahun depan.

Ia berkata kadar inflasi dijangkakan tinggi pada separuh kedua tahun ini memandangkan harga makanan masih tinggi apabila permintaan domestik meningkat selain impak daripada musim perayaan.

“Oleh itu, kami menjangkakan purata pertumbuhan Indeks Harga Pengguna kekal pada kira-kira tiga peratus pada separuh kedua yang secara perbandingannya kukuh berbanding dollar Amerika Syarikat, dan kerajaan terus memberi subsidi ke atas makanan dan bahan api, dan oleh itu menjadi pemampan terhadap tekanan inflasi dunia,” katanya.

Berdasarkan kedudukan ini, Kenanga berkata Bank Negara Malaysia mungkin menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25 peratus tahun ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular