Saturday, June 25, 2011

Tangkap Bukan Penyelesaian Terbaik: KSU KDN

Putrajaya: Tindakan untuk terus menangkap pihak yang terbabit dalam perhimpunan haram 9 Julai ini bukan merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, sebaliknya kerajaan mengambil pendekatan untuk memberi informasi supaya orang ramai tahu mengenai akibatnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, berkata senario pada zaman ini sudah berubah, di mana rakyat tidak boleh lagi menerima tindakan tangkapan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang amaran.

"Jadi kita maklumkan kepada orang awam tentang apa yang berlaku. Tangkap-tangkap bukan jalan penyelesaian. Bolehkah kamu terima jika kami terus menangkap kamu," katanya selepas majlis dialog pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesukarelawanan dengan beliau di KDN di sini, hari ini.

Mahmood diminta mengulas mengenai gesaan sesetengah pihak yang mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan haram tersebut dan tidak terlalu berlembut dengan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneliti lebih 1,000 laporan polis yang dikemukakan yang membantah perhimpunan tersebut serta akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Mengulas majlis dialog tersebut, beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya pernah diadakan dan akan diteruskan bagi menyelaras pergerakan NGO di negara ini serta meminta pandangan dan idea daripada mereka dalam usaha memajukan negara.

Mahmood berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mewujudkan majlis permuafakatan bagi menyelaras dan memberi sebarang bantuan yang diperlukan oleh NGO tersebut serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka.

Mengikut rekod, katanya, terdapat lebih 119,000 NGO di negara ini dengan lebih 30 juta ahli dan lebih 40,000 daripada jumlah NGO itu merupakan NGO kesukarelawanan.

Beliau turut menafikan bahawa perjumpaan itu adalah langkah kerajaan untuk menguasai NGO terbabit sebaliknya kerajaan tidak mempunyai niat lain selain untuk menyatukan NGO berkenaan yang turut akan menjimatkan kos, masa dan tenaga mereka.

Seramai 100 pemegang jawatan daripada 40 NGO kesukarelawanan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu. - BERNAMA 

Ulasan GB

Sekalipun KSU KDN menyatakan tangkap bukan jalan yang terbaik, tapi bagi polis, tangkapan terus dilakukan.

Semalam beberapa pemimpin AMK dan PAS ditangkap.

Saya suka mencadangkan agar pois tangkap 1 juta rakyat yang mengundi menyokong perhimpinan BERSIH diadakan di dalam satu bancian oleh akhbar The Star Online baru-baru ini.

Ingat, anda boleh menangkap jasad-jasad rakyat, tetapi anda tidak akan mampu menahan hati nurani rakyat.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular