Menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, cadangan itu seolah-olah satu tindakan susulan kerajaan menerusi SPR untuk menghalalkan pendatang tanpa izin mengundi mereka pada pilihan raya akan datang.
"Itu (sistem biometrik) kami tidak minta, yang kami minta ialah penggunaan cap jari dengan dakwat hitam, pembersihan daftar pemilih tetapi cadangan biometrik ini adalah cara bagaimana untuk menghalalkan pendatang asing mengundi pada pilihan raya akan datang.
"Sebab mereka dalam usaha memberikan taraf kerakyatan kepada sebabahagian besar pendatang asing dan akhirnya mereka memberi kad pengenalan dan borang akaun bersumpah kepada warga asing ini untuk menyokong BN dalam pilihan raya akan datang," tegas Mahfuz.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini mengulas mengenai lapan tuntutan Bersih 2.0.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 ialah menggesa SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, melanjutkan tempoh kempen kepada minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil,mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.
Mahfuz sebelum ini pernah melahirkan kegusarannya berhubung sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.
Berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan.
Selain beliau, beberapa lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat mendedahkan di kawasan masing-masing berlakunya masalah seperti pendaftaran warga asing sebagai warganegara dan diberikan kad pengenalan.
Isnin lalu, SPR mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.
Mengulas lanjut, Mahfuz mengesa SPR bertindak tegas dalam menjalankan tugasnya dengan memastikan warga asing tidak didaftarkan sebagai pemilih. -tvsnews
Popout
No comments:
Post a Comment