SETELAH hampir 54 tahun Tanah Melayu @ Malaya dan 48 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan, komposisi kaum hasil gubalan penjajah Inggeris yang mendominasi negara ini, 27.56 juta rakyat Malaysia masih tercari-cari identiti sebenar mereka iaitu ‘Anak Malaysia’.
Namun sehingga ke hari ini, belum ada seorangpun rakyat Malaysia berjaya mendaftarkan kelahiran anak mereka berbangsa ‘Anak Malaysia’ kerana Perlembagaan Malaysia menerima pakai kewarganegaraan anak mengikut kewarganegaraan bapa iaitu Bin atau Binti, s/o atau s/o atau anak (Sarawak); melainkan jiwa perkahwinan tersebut tidak berdaftar atau anak luar nikah (Seksyen 10) yang dibolehkan mengikut kewarnegaraan ibu.
Kecelaruan identiti ini menyebabkan rakyat Sabah turut menerima tempias apabila bangsa mereka yang sebelum ini dijenamakan sebagai ‘Lain-Lain’; selain Melayu, Cina dan India; kini semakin dihimpit birokrasi apabila anak yang lahir daripada kahwin campur hanya dibenarkan menggunakan ‘Sino-Native’ atau ‘Sino-Bumiputera’ dan bukannya ‘Sino-Kadazan atau Sino-Murut atau Sino Bajau’ dan sebagainya.
Natijahnya, anak yang lahir hasil perkahwinan campur antara India tempatan dan Bajau terpaksa didaftarkan sebagai berbangsa ‘India’ dan tidak dapat memiliki tanah NT atau ‘Tanah Adat’ atau membeli Unit Amanah Saham Bumiputera atau Lesen PKK Kelas F kerana India bukan Anak Negeri Sabah.
Namun amat membahagiakan bagi anak India atau Pakistan yang mendapat kad pengenalan projek di Sabah kerana bangsa anak mereka menjadi ‘India Muslim’ atau ‘Pakistan’ tetapi diasimilasikan sebagai ‘Melayu’ kerana boleh menjadi ahli UMNO.
Mungkin hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dapat merubah ‘kezaliman’ ini dan Kerajaan ‘1Malaysia’ tidak dituduh sebagai ‘Menghapus Etnik’ (Ethnic Cleansing) dan mempunyai cukup keberanian untuk membenarkan pendaftaran bangsa ‘Anak Malaysia’ bagi semua rakyat Malaysia; sekalipun kesannya pemimpin UMNO yang rasis akan menurunkan Najib sebagaimana UMNO menolak datuk saudaranya, Datuk Onn Jaafar berhubung isu membuka keahlian UMNO kepada bangsa lain.
No comments:
Post a Comment