Saturday, June 25, 2011

Bersih 2.0: Semua ada hak tapi kena patuh undang-undang, kata Najib


KUALA LUMPUR, 25 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi walaupun mereka mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan termasuk satu yang akan diadakan awal bulan depan.
“Masing-masing ada hak. Bagaimanapun kita ada undang-undang dalam negara kita dan semua pihak tertakluk kepadanya,” katanya apabila diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pihak yang tetap bertegas mahu mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.
Himpunan Bersih 2.0 dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan disokong pihak-pihak yang mendesak pembaharuan sistem pilihan raya negara ini.
Bagaimanapun pihak yang pro-Barisan Nasional (BN) termasuk Perkasa menentang pendekatan tersebut.
Dipetik Bernama Online, Najib (gambar) yang juga Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.
Ditanya pendiriannya berhubung perhimpunan itu terutama berkaitan penglibatan Pemuda Umno, Najib berkata: “Kalau pihak Bersih (penganjur perhimpunan haram) boleh nak buat, pihak Pemuda Umno pun nak buat juga. Namun, negara kita masih ada undang-undang.”
Selain Bersih 2.0, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno turut mengumumkan hasrat untuk berhimpun bagi menyatakan pendirian masing-masing pada 9 Julai ini.
Sementara itu,  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan menyelesaikan perkara tersebut.
“Jadi, biarlah polis membuat keputusan berdasarkan siasatan dan juga undang-undang. Kalau saya buat keputusan, kita akan dituduh menyalahgunakan kuasa terutamanya jika ada antara ahli mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya. - TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular