
“Saya ingin beri nasihat kepada anak-anak sekalian... Jangan terlibat dalam sebarang perhimpunan. Anasir-anasir ingin merosakkan negara kira. Ini negara kita. Ini tanah Persekutuan Tanah Melayu.
“Mereka hendakan negara kita hancur supaya Melayu hancur. Jangan cepat pengaruh dengan orang manis mulut untuk merosak orang Melayu. Perhimpunan yg dirancangkan akan membawa hancuran negara Tanah Melayu. Jangan Melayu lawan Melayu. Awas anak sekalian.”
Apa yang anda baca ini ialah pesanan yang disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Sahol Hamid Abu Bakar dalam laman peribadi facebook beliau yang pastinya ditujukan buat para penuntut UiTM di seluruh Malaysia.
Pelajar saya menunjukkan pesanan ini sewaktu kami sedang berbual ringan melibatkan pelbagai isu semasa di Malaysia ini. PPSMI, Interlok hinggalah kepada loji nadir bumi di Gebeng, semuanya dikupas secara santai tetapi berintelektual.

Media arus perdana melihatnya seperti suatu dosa besar, amat menakutkan dan seterusnya boleh menghancurkan negara.
Andaian dibuat bahawa mereka yang menyertai BERSIH 2.0 ini sebagai anasir-anasir yang ingin merosakan negara sedangkan mereka yang menikmati segala macam kemewahan melalui segala macam korupsi di negara ini tidak pula dilihat seperti itu.
Demokrasi dalam konteks negara kita hanya pada namanya sahaja. Apa sahaja yang mengugat status quo pemerintah dilihat sebagai ancaman kepada kepentingan nasional. Oh ya, hingga hari ini saya gagal menemui satu definisi mutlak kepada apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kepentingan nasional?
Kepentingan siapa di sini yang sebenarnya dirujuk? Pemerintah atau rakyat?

Benarkah setiap individu yang berhasrat menyertai BERSIH 2.0 bermimpikan agar Melayu hancur dan berpaksikan kepada Melayu lawan Melayu?
Kaum Melayulah yang perlu dikasihani di sini. Tak semena-mena mereka diheret bersama-sama atas nama kepentingan nasional dan keperluan mempertahankan Tanah Melayu. Tanah Melayu?

Tetapi jika ini melibatkan percaturan politik melayu maka ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan amat malang sekali apabila minda anak-anak muda yang seharusnya diberikan ruang untuk melihat segenap aspek kehidupan meliputi politik, ekonomi dan sosial secara kritis ini sengaja ditutup demi menyelamatkan politik melayu itu sendiri.
Membicarakan secara serius tentang politik Melayu ini umpama menjerat diri sendiri kerana setiap pandangan politik seseorang ahli akademik tidak akan dianalisis secara kritis sebaliknya dilihat sebagai satu bentuk jenayah benci yang berbahaya di negara ini.

Para politikus bermati-matian mahukan BERSIH 2.0 dibatalkan demi kepentingan nasional. Kepentingan nasional yang meliputi kepentingan para politikus yang mengaut pelbagai macam keuntungan dengan menggunakan label politik perkauman dan kemudiaanya meletakkan beban pada bahu rakyat yang sememangya sudah menderita dengan segala macam keputusan tidak popular yang telah dilaksanakan sebelum ini, begitu?

Membentuk mahasiswa berkelas dunia ini bukannya bersandarkan dengan menggalakkan para mahasiswa menyertai aktiviti kampus yang kebanyakkannya bersifat rekreasi dan hedonistik semata-mata sebaliknya menyemarakkan kegiataan kemahasiswaan yang bersifat keintelektualan dan tidak dipagari dengan peraturan yang mengekang percambahan idea mahasiswa.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kewartawanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak. - Mk

Juhaizam Jaafar · Sm teknik ipoh /smk khir johari
tanah melayu..???? kesian melayu...bertaraf profesor pun masih dibuai emosi dan tradisi lama...
No comments:
Post a Comment