Thursday, June 23, 2011

Pemuda PAS lancar Hari Pra-Bersih 2.0 2 Julai


KUALA LUMPUR, 23 Jun — Bagi menyemarakkan lagi Himpunan Bersih 2.0, Dewan Pemuda PAS pusat menyarankan seluruh kepimpinan sayap pemuda parti Islam itu termasuk golongan muda menjadikan tanggal 2 Julai ini sebagai Hari Pra-Bersih 2.0.


Menurut ketuanya Nasrudin Hasan, langkah itu sebagai persiapan untuk membangkitkan semangat dan persediaan rakyat yang akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 seminggu kemudian.
“Sebagai satu usaha menyahut seruan Himpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan, saya menyarankan seluruh warga Pemuda PAS di semua peringkat termasuk anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai sebagai Hari Pra-Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 (warna kuning).
“Ini sebagai persiapan bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun jelas beliau, pada 2 Julai ini tiada sebarang perhimpunan akan diadakan sebaliknya cukup sekadar memakai pakaian rasmi Himpunan Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan.
“Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai 2011 tidak perlu diadakan sebarang himpunan.
“Cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak,” katanya.
Himpunan Bersih 2.0 dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil melalui lapan tuntutan utama yang harus dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0  yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
“Rasional seruan saya ini adalah sebagai ‘warm up’ (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0.
“Ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan ini, dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang,” kata Nasrudin.
Tambah beliau, rakyat yang akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 membuktikan mereka mahukan hak untuk mendapatkan pilihan raya bersih dan adil. - TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular