Friday, April 22, 2011

Status bukan jaminan tetap kekal berjaya

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, status sesebuah negara itu bukan jaminan untuk mereka kekal berjaya jika dasar kewangan dan ekonomi tidak diurus dengan baik.


“Sekalipun sesebuah negara itu sudah diiktiraf negara maju, (ia) tidak menjamin negara itu tidak boleh terjerumus sebagai ‘failed state’ atau negara yang boleh dikatakan gagal daripada segi menguruskan ekonomi dan dasar kewangan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, apabila sesebuah negara itu tergolong dalam kategori negara gagal, maka ia akan kehilangan maruah kerana terpaksa menagih bantuan kewangan daripada institusi kewangan antarabangsa.

“Ini akan mengakibatkan ketidaktentuan daripada segi dasar domestik yang akan membawa kepada beban berat kepada rakyat negara terbabit,” katanya.

Memberi contoh negara seperti Greece, Ireland, Sepanyol dan Portugal yang menghadapi masalah akibat dasar kewangan dan ekonomi yang gagal diurus dengan baik, Perdana Menteri berkata, keadaan itu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran menanganinya.

“Akibatnya, timbul kegelisahan dalam kalangan rakyat negara terbabit apabila terpaksa terikat de-ngan syarat dikenakan badan antarabangsa,” katanya.

Najib berkata, bagi memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah seumpama itu, kerajaan sudah menentukan pelan hala tuju dan landasan cukup jelas berpaksikan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Menurutnya, pelbagai dasar, program dan projek antaranya, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah dirangka supaya Malaysia terus berjaya, sekali gus menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, menjadi kenyataan. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular