SITIAWAN: Gara-gara gagal memujuk isterinya memberikan wang RM8,000 untuk berjudi, seorang kaki botol bertindak bodoh membakar rumahnya sebelum dia sendiri mati akibat kebakaran itu.
Kejadian berlaku selepas mangsa bertengkar dengan isterinya di rumah mereka di Kampung Baru, Ayer Tawar, dekat sini, kira-kira jam 6.20 petang kelmarin. Pasangan itu dikatakan sudah bertengkar sejak beberapa hari lalu.
Lelaki terbabit yang hanya dikenali sebagai Ah Hock, berusia 50-an, ditemui dalam keadaan hampir 100 peratus badannya terbakar dalam sebuah bilik rumah separuh papan yang musnah dalam kebakaran itu.
Seorang waris mangsa enggan dikenali berkata, lelaki itu pernah beberapa kali mengugut untuk membakar rumah pusaka didiaminya bersama isteri jika gagal mendapatkan wang RM8,000 daripada wanita itu yang hanya bekerja sebagai penoreh getah.
“Saya difahamkan, isteri mangsa enggan melayan kerenah suaminya itu dan bertindak melarikan diri ke Kuala Lumpur sejak seminggu lalu. Sejak kejadian itu, mangsa sering menyuarakan hasrat untuk membakar rumahnya kerana marah dengan tindakan isterinya.
“Saya tidak sangka dia benar-benar berbuat demikian. Lebih malang apabila dia sendiri yang mati dalam kebakaran itu,” katanya.
Waris itu berkata, dia memang menyedari tabiat buruk mangsa suka berjudi dan kaki botol, tetapi tidak menduga ia akan membawa kepada bencana seburuk itu.
Gambar hiasan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, ketika kejadian mangsa tinggal bersendirian di rumahnya dan gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
“Dua rumah itu, termasuk satu rumah mangsa yang terletak bersebelahan hangus dalam kebakaran terbabit. Mangsa dipercayai maut selepas gagal menyelamatkan diri. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. CI
No comments:
Post a Comment