Sunday, April 17, 2011

Siasatan kes video seks selesai

KUALA LUMPUR: Polis sudah menyiapkan laporan siasatan rakaman video aksi seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin parti pembangkang mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.


Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).


"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit. 

"Kita tunggu sahajalah...kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu," katanya. 

Jam tangan itu adalah antara dua barang bukti, selain rakaman video seks, yang diserahkan kepada polis oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bagi tujuan siasatan berhubung video itu. 

Susulan itu, polis mengemukakan nombor pendaftaran jam itu kepada syarikat berkenaan bagi pengesahan pemiliknya dan memberikan tempoh seminggu untuk syarikat itu memberikan jawapan. 

"Identiti pemilik jam itu bukan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu," kata Acryl. 

Pada 21 Mac lalu, video itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh satu kumpulan dikenali sebagai "Datuk T" di Carcosa Seri Negara. 

Misteri Datuk T yang bermaksud "Trio" itu terjawab pada satu sidang akhbar di sebuah hotel pada 23 Mac lalu apabila Shazryl Eskay dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, serta Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim, mengakui mereka adalah individu terbabit. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan. - BERNAMA 

Kat Bawah ni saya ambil komen dari Blog PR

Jika sebelum PRN Sarawak, PDRM dengan tegas mendakwa video itu tulen dan tidak ada masalah untuk mengaitkan individu tertentu, hari ini nada mereka sudah berubah. 


Mengapa sebelum PRN Sarawak, nadanya seolah-olah Anwar Ibrahim pelakon video konspirasi tersebut, hari ini polis dengan jelas menyatakan bahawa kes ini disiasat atas kesalahan mengedar bahan lucah? 


Adakah KPN dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah mengeluarkan dua kenyataan yang berbeza? Adakah Anwar Ibrahim tetap diaibkan selepas ini?

Oleh sebab, video ini sudah disiasat, maka
rakyat terbanyak mahu pihak polis menjelaskan gerangan pelakon dan pihak yang terlibat membikin video itu. Siasatan kes ini, sepatutnya merangkumi semua aspek termasuk ugutan, bukan hanya kesalahan mengedar video itu sahaja.Jika tidak, sahlah video konspirasi ini hanya alat untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar sebelum berlangsungnya PRN Sarawak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular