SHAH ALAM – Seorang remaja cedera parah setelah kereta yang dipandunya melekat di kepala lori dalam kemalangan di Persiaran Selangor, di sini, semalam.
Perodua Kancil yang dipandu remaja itu, dikenali hanya sebagai Arif, sedang menuju ke arah Bulatan Stadium kira-kira jam 11 pagi apabila ia terbabas ke laluan bertentangan, dipercayai akibat jalan licin kerana basah.
Pemandu lori, dikenali sebagai Ahmad, dalam usia 40-an berkata, kereta itu muncul di hadapannya secara tiba-tiba.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya langsung tidak sempat mengelak.
“Kami sekeluarga tidak dapat keluar segera kerana kedua-dua pintu lori remuk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad, bersama isteri dan anak lelakinya, dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam untuk berniaga ayam golek, sempena hari terbuka sebuah syarikat swasta.
Katanya, orang ramai membantu mengeluarkan Arif, Ahmad dan keluarga dari kenderaan.
Jurucakap polis berkata, Arif dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. ~SH~
No comments:
Post a Comment