Saturday, April 23, 2011

PM minta masa umum kedudukan KM Sarawak

NAJIB bersalaman dengan Sheikh Abdul Rahman ketika menerima kunjungannya di Putrajaya, semalam.
NAJIB bersalaman dengan Sheikh Abdul Rahman ketika menerima kunjungannya di Putrajaya, semalam.
Isu desakan Abdul Taib letak jawatan lebih awal
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak memberinya masa berhubung desakan agar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan lebih awal daripada jangka masa dua tahun yang dijanjikannya.
“Saya sudah membuat komen, cukuplah.... bagi saya masa,” kata Perdana Menteri ringkas pada sidang media selepas majlis Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak termasuk Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu yang mahu Abdul Taib mempercepatkan penyerahan kuasa kepada penggantinya selepas menerajui Sarawak lebih 30 tahun selain kemerosotan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, baru-baru ini. 

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata beliau dan Abdul Taib sudah mencapai persefahaman berhubung calon pengganti ketua menteri bagi memastikan kelancaran peralihan kuasa kepemimpinan negeri berkenaan. 

Perdana Menteri berkata, mereka akan mendedahkan nama pengganti ketua menteri apabila tiba masanya kelak dan menegaskan peralihan kuasa tetap akan berlaku namun keputusan itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru bagi mengelak masalah pada parti dan kerajaan. 

Abdul Taib juga sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak mahu pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) bergaduh untuk merebut jawatan Ketua Menteri apabila beliau bersara kelak. 
Sementara itu di PUTRAJAYA, BERNAMA melaporkan Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Imam Besar, Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz As-Sudais, yang kini dalam rangka lawatan tujuh hari ke negara ini bermula Isnin lalu. 

Turut serta anak Imam Besar, Suhaib; Duta Arab Saudi ke Malaysia Mohamad Reda Abu Al-Hamayel; dan Atase Agama Kedutaan Arab Saudi ke Malaysia Sheikh Abdul Rahman Atallah. 

“Saya percaya kalau dia melihat di sini ada banyak kepincangan dari segi kita mengamalkan Islam, saya percaya dia tidak akan datang ke Malaysia. Keputusan dia datang itu dengan sendirinya adalah pengiktirafan atas apa yang sudah dilakukan kita selama ini untuk umat Islam dan untuk menegakkan Islam di Malaysia,” katanya dalam pertemuan 40 minit itu. Abdul Rahman turut melahirkan penghargaannya terhadap Malaysia sebagai negara Islam contoh, selain mengagumi perkembangan dakwah Islamiah di negara ini. 

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata kunjungan Imam Besar itu adalah satu pengiktirafan terhadap usaha kerajaan Malaysia bagi menegakkan Islam di negara ini. 

Beliau berkata Abdul Rahman turut menyatakan bahawa hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi, amat mantap dan akrab, dan kedua-dua negara perlu terus bekerjasama demi kepentingan umat Islam. 

"Beliau juga memuji tingkah laku jemaah haji Malaysia yang diharap akan jadi contoh kepada jemaah haji dari negara-negara lain sebab kita menguruskan mereka dengan begitu tertib dan sopan," kata Najib. 

Perdana Menteri berkata, Imam Besar itu menghargai Malaysia kerana menyanjungi usaha kerajaan Saudi dalam konteks menentukan kestabilan negara itu dan negara-negara jirannya supaya Baitullah dan Masjid Nabawi terselamat dan tidak akan diganggu gugat dalam apa juga keadaan. - Berita Harian 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular