Sunday, April 17, 2011

Raja Petra sedia mengaku : PR Tak akan terima Raja Petra semula...



SHAH ALAM – Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin berjanji akan pulang ke tanah air dan mengaku bersalah sekiranya Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail mendakwanya atas tuduhan menfitnah pegawai di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kolonel Azmi Zainal Abidin. 

Katanya, dia akan berbuat demikian dan bersedia masuk penjara, dengan syarat dia tidak didakwa menfitnah tiga orang lain, termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. 

Dua orang lagi yang Raja Petra namakan sebagai orang yang dia tidak mahu dikaitkan dalam sebarang tuduhan, ialah Kolonel Norhayati Hassan dan Kolonel Aziz Buyong. 

Katanya, dia tidak pernah mendakwa Rosmah, Kol Aziz dan Kol Norhayati terlibat pada malam model Mongolia, Altantuya Shariibuu dibunuh pada 18 Oktober 2006 di Puncak Alam, di sini. 

Katanya, dia mendapat maklumat bahawa tiga orang itu berada di situ daripada Azmi, yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas, kerana pada masa itu Azmi adalah orang nombor dua dalam unit khas perisikan tentera.

“Selama tiga tahun saya hidup di bawah stigma menfitnah orang yang salah. Saya tidak nafi menandatangani surat sumpah itu, tetapi saya tidak mahu didakwa atas jenayah yang saya tidak lakukan. 

“Mendakwa saya kerana menfitnah tiga individu tersebut adalah pendakwaan yang salah. Pendakwaan yang tepat adalah memfitnah Azmi. Jika itulah pendakwaannya, saya berjanji akan pulang,” katanya seperti yang dipetik oleh portal Malaysia Today semalam. 

Raja Petra berkata, jika pendakwaan tersebut benar-benar hanya melibatkan fitnah terhadap Azmi, beliau berjanji tidak akan melawan proses pendakwaan dan terus mengaku bersalah. 

“Mereka (pihak pendakwa) juga perlu berjanji pendakwaan tersebut sahaja yang saya hadapi, bukannya secara tiba-tiba mendakwa saya dengan 10 jenayah lain”. 

Dia juga berkata, dari semasa ke semasa dia cuba membetulkan persepsi tersebut, tetapi gagal kerana kenyataannya telah disalahgunakan oleh media pro pembangkang dan media pro kerajaan. 

Menjelaskan kenapa baru kini dia mendedahkan perkara ini, Raja Petra berkata, dia sudah menyatakan perkara ini sejak tiga tahun lalu. 

“Saya sudah bertahan dan malu apabila mereka memanggil saya penipu selepas menandatangani surat sumpah itu, tetapi sekarang saya lebih teruk kena apabila saya dikatakan sebagai kuda trojan, pembelot dan sebagainya. 

“Saya tidak peduli kerana saya sudah bertahan tiga tahun. Jadi tiada masalah bagi saya untuk tunggu tiga tahun lagi untuk bersihkan nama saya,” katanya. 

Di bawah Akta Fitnah 1957, seseorang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun - SH

Tak akan terima Raja Petra semula 



SHAH ALAM – Pengakuan Raja Petra Raja Kamaruddin bahawa beliau masih menyokong perjuangan pembangkang di sebalik kritikan terbukanya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengubah kecurigaan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terhadap dirinya.

:Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, meskipun Raja etra mengakui dirinya bukan pembelot, tidak mungkin hubungannya dengan mereka akan pulih seperti sedia kala. 

“Tindakannya bermotif politik untuk menjejaskan PR meskipun mendakwa dirinya tidak belot dan masih bersama kami,” katanya. 

Mustafa berkata, PR tidak akan terjejas sama sekali dengan pendedahan itu dan terus komited untuk memastikan parti itu mendapat kepercayaan rakyat pada pilihan raya umum akan datang. 

“Pendedahan Raja Petra menunjukkan beliau tidak konsisten dan tiada kredibiliti. Rakyat tidak akan mempercayainya lagi. 

“Rakyat boleh menilai. Pendedahannya adalah untuk meraih simpati rakyat sewaktu PRN Sarawak berlangsung,” katanya. 

Raja Petra mendakwa didesak dan dipengaruhi oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil alih kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan. 

Sementara itu, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, soal Raja Petra belot atau tidak bukan persoalan. 

Katanya, kerjasama dengan TV3 jelas memperlihatkan Raja Petra bersekutu dengan UMNO. 

“Pendedahan Raja Petra sewaktu Pilihan Raya Negeri Sarawak juga jelas ia bermotif untuk jatuhkan PR untuk kepentingan BN. 

“Tetapi rakyat bijak untuk menentukan kebenarannya,” katanya. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular