MINGGU lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP) mengenai kewujudan telur tiruan di pasaran.
Menurut Presidennya, S.M. Mohamed Idris, telur tiruan tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon.
Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin kemudian mengesahkan ujian yang dilakukan terhadap sampel telur ayam tiruan yang dirampas dari sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mendapati ia tulen.
Sihat
Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.
Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.
Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan.
Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.
Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur sehari.
Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian.
Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati 1,550 orang diserang sakit jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000 meninggal dunia.
Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang diambil oleh rakyat negara ini kerana mereka turut mengambilnya secara tidak langsung seperti dalam kuih-muih, roti dan makanan lain.
Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik dihasilkan di negara ini.
Tiga biji
Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja makanan yang diambil secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.
Beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.
“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka tidak perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan seimbang.
“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,” ulasnya.
Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.
Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.
“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian putihnya sahaja.
“Pengambilan secara mentah pula tidak digalakkan kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar Shariza lagi.
Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.
Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.
Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual.
Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.
Seksual
“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.
Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.
Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.
Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur sehari.
“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan mengenyangkan,” katanya.
Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.
Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.
“Keton merupakan bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada badan.
“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.
Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka memerlukan protein dalam jumlah yang besar.
Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang baik untuk kesihatan.
Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.
Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.
“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3, lebih baik mereka mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya. -kosmo
No comments:
Post a Comment