Sunday, April 17, 2011

Islam galak umat tampil kemas, cantik




Berfesyen tidak salah tetapi jangan melampaui batas, langgar hukum

ISLAM tidak mengharamkan apa yang dinamakan fesyen sebaliknya meraikan sesiapa yang menghendaki gaya penampilan kemas dan cantik dan imej seseorang juga terletak pada cara berpakaian.

Islam juga tidak menggalakkan umatnya kelihatan selekeh daripada pandangan mata umum kerana ia seolah-olah menggambarkan sikap umat Islam tidak mementingkan keterampilan yang kemas dan cantik. Malah, Allah lebih menyukai hamba-Nya yang bijak menggunakan nikmat kurniaan-Nya sebagai tanda bersyukur. Tetapi, pada masa sama, kekemasan dan kecantikan itu tetap didasari oleh peraturan serta ketetapan disediakan oleh Allah SWT. Kecantikan itu mestilah tidak dituruti bersama dengan sifat riak mahupun takbur. Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi.”

Lalu bertanya seorang lelaki: “Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur? Baginda menjawab: “Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia.”

Selain penjagaan aurat, Allah menjadikan pakaian sebagai perhiasan bagi si pemakai yang juga fitrah seorang insan.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (libaasa) pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk (wariisya) perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, ayat 26)
Menurut Tafsir Jalalain’, ‘Libaasa’ dalam ayat itu ialah pakaian bertujuan untuk menutup aurat. Adapun ‘Wariisya’ ialah apa yang diambil atau dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu bertujuan untuk perhiasan.

Menutup aurat adalah keperluan asas sementara perhiasan hanya sampingan kepada tujuan pakaian.

Fungsi pakaian dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang.” (Surah an-Nahl, ayat 81)
Seluar kebiasaannya pakaian bagi lelaki tetapi turut mula dipakai golongan wanita sehinggakan ada sebahagian pendapat dari ulama yang mengharamkan secara terus pemakaian segala jenis seluar bagi wanita.

Bagaimanapun, ramai juga di kalangan ulama yang membenarkan pemakaian seluar kepada wanita berdasarkan jenis seluar dipakai. Hingga ada segelintir yang menyalahgunakan hadis Nabi SAW dengan pendapat wanita lebih mulia jika memakai seluar.
Ini disebabkan salah faham kepada maksud hadis diriwayatkan oleh Al-Uqayli, Dar al-Qutni dan kitab Kanzul Ummal iaitu: “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang.”

Hadis ini berikutan kejadian seorang wanita yang jatuh dari kenderaan sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya. Maka sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu Rasulullah SAW memuji dan menyebut hadis berkenaan.

Diriwayatkan juga dari Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermakaud: “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hukum ini umum, bagi membolehkan perempuan dan lelaki memakai seluar, asalkan seluar perempuan berbeza dengan seluar lelaki kerana mereka tidak boleh sama dalam bentuk penampilan diri berasaskan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah melaknat ke atas lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bekas Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Atiyyah Saqqar, dalam kitab Mausuah al-Usrah berkata: “Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib celanya seluar panjang dipakai mereka sekarang ini.”

Cuma bagi perempuan pula ia menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang mengundang perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi dipakaikan pula di luarnya kain yang menutupi anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping tidak kelihatan rupa bentuknya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa.

Ini bermaksud wanita dibenarkan memakai seluar dengan menepati syarat penutupan aurat yang sebenar. Permasalahan yang muncul adalah aliran masa kini yang mana anak muda semakin ramai mengenakan seluar yang terlalu ketat sehinggakan menampakkan tubuh badan mereka.

Seluar ketat termasuk ‘legging’ ini terkadang dilihat dipakai oleh wanita bertudung dan ia jelas menampakkan bentuk aurat wajib ditutup sehingga menonjolkan bentuk tubuh seperti betis, peha dan kemaluan dengan ketara.
Dalam isu pemakaian seluar ketat, ia turut menjadi perbincangan ulama. Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan dalam kitabnya Al-Qaul Al-Mubin fi Akhtha’ Al-Mushallin berkata: “Majoriti pemuda yang menamakan dirinya remaja Muslim, mereka mengingkari wanita yang berpakaian ketat kerana membentuk tubuhnya. Sementara pemuda ini sendiri lupa dirinya turut sama melakukan perbuatan itu. Tidak ada perbezaan antara seorang wanita berpakaian ketat dan seorang lelaki memakai seluar yang membentuk tubuh, kerana keduanya sama-sama membentuk kedua punggungnya. Sedangkan punggung lelaki dan punggung perempuan adalah aurat, kedua-duanya sama hukumnya.”

Sebahagian pandangan dari Mazhab Syafie berpendapat harus lelaki memakai seluar asalkan tidak menampakkan bentuk kemaluan kerana jika ternampak bentuk kemaluan maka jatuh kepada hukum haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian jauh.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Justeru, fesyen itu tidak salah tetapi salah memilih cara berfesyen itulah membuatkan diri dimurkai. Jangan kerana fesyen, maruah tergadai.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular