Monday, February 6, 2012

Skandal NFC belum terjawab, Shahrizat sudah tunjuk angkuh

KUALA LUMPUR, 6 FEB: “Percutian” Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selama tiga minggu untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat skandal RM330 juta NFC “lembu kondo” hanya menjadikan Ketua Wanita UMNO itu semakin bongkak dan angkuh.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Shahrizat bukan sahaja tidak menjelaskan apa-apa tentang skandal yang membabitkan suaminya Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail selaku pengerusi eksekutif NFC tetapi juga cuba bermain politik murahan.

“Adakah Shahrizat telah dibebaskan oleh SPRM daripada dakwaan salah guna kuasa atau pertentangan konflik dalam skandal NFC? Jawapannya adalah tidak.

“Oleh kerana percutian beliau sebagai Menteri gagal mencapai matlamat (menyelesaikan skandal), bukankah cuti beliau perlu diteruskan sehingga jawapan jelas diperolehi?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, oleh kerana SPRM tidak memberi apa-apa keputusan, Shahrizat sepatutnya menjelaskan:

* Dakwaan bahawa RM13.8 juta daripada peruntukan penternakan lembu NFC yang dikatakan diguna untuk membeli kondo mewah di Bangsar;

* Dakwaan bahawa RM10 juta daripada wang bagi menyediakan keperluan daging lembu NFC kepada rakyat yang dikatakan diguna untuk membeli sebuah kondo mewah di Singapura;

* Dakwaan bahawa RM3.4 juta daripada peruntukan kerajaan (wang rakyat) untuk NFC yang dikatakan diguna untuk membeli tanah di Putrajaya; dan

* Dakwaan bahawa RM830,000 yang dikatakan telah digunakan untuk percutian santai, RM530,0000 untuk membeli kereta mewah, RM600,000 untuk membayar kad kredit keluarga Shahrizat, dan sebagainya.

Menurutnya, Shahrizat bukan sahaja membisu terhadap dakwaan-dakwaan tersebut, sebaliknya telah “bermain kotor” dengan menyerang secara peribadi Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli yang telah mendedahkan skandal NFC yang melibatkan Shahrizat dan keluarganya itu.

“Sebenarnya Shahrizat telah dipinggirkan oleh kepimpinan UMNO untuk mempertahankan dirinya sendiri,” kata Kit Siang.

Beliau menjelaskan, banyak pihak dalam UMNO termasuk bekas Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketua Wanita sekarang Datuk Kamalia Ibrahim serta pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad telah mendesak Shahrizat supaya meletak jawatan.

“Ini mencerminkan kelemahan teruk Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang sepatutnya menunjukkan kepimpinan politik dalam UMNO dan Barisan Nasional,” tambah beliau.

Katanya, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga telah menyalahkan kerajaan BN, khususnya Shahrizat kerana gagal menangani dengan baik skandal NFC.

Menurutnya, memang Dr Chua mudah menyalahkan Shahrizat tetapi beliau sendiri tidak berani mengarahkan para menteri MCA untuk membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet, sekurang-kurangnya supaya Shahrizat meneruskan cuti sehingga SPRM selesai menyiasat skandal NFC.

Tambahnya, adalah lebih baik lagi jika para menteri MCA berani mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal tersebut. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular