Tuesday, February 7, 2012

Panas !! Faekah "belasah" Khir Toyo

Air S’gor: Khir Toyo khianati amanah
"Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya".

February 7, 2012 PETALING JAYA: Kenyataan mantan Menteri Besar, Dr Khir Koyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

“Sesungguhnya (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin dalam satu kenyataan media.

Faekah berkata, sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri.

“Kenyataan dan penafian Khir seolah-olah mahu membalas dendam kepada Umno yang tidak mahu melindungi kesalahan beliau hingga tertuduh di mahkamah, sedangkan Umno sentiasa melindungi pemimpin mereka yang melakukan kesalahan pecah amanah dan rasuah.

“Khir kecewa perkara yang sama tidak dilakukan ke atasnya sebagaimana keistimewaan yang diperolehi (Menteri Pembangunan Wanita Kebajikan dan Masyarakat dan juga Ketua Wanita Umno) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam skandal lembu NFC,” jelas beliau.

Katanya, sebagai bekas pemimpin nombor satu di negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

“Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada Syabas.

“Khir tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan Umno kerana (Pengerusi Syabas) Tan Sri Rozali Ismail merupakan Bendahari Umno Selangor ketika itu,” terang beliau.

Faekah menerangkan bahawa Syabas gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi kerajaan negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir gagal bertindak sewajarnya.

“Adakah Khir mahu mengatakan bahawa beliau tidakpun membaca isi kandungan perjanjian tersebut? Adakah Khir mahu mengakui bahawa beliau tidak ada pengetahuan bahawa di dalam perjanjian tersebut bahawa Syabas boleh menaikkan tarif air sehingga 71% pada tahun 2020?


“Selaku MB tidakkah Khir tahu bahawa selama ini Syabas menggunakan aset air rakyat Selangor bernilai RM12 bilion secara percuma?,” soal beliau.

Di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani Syabas amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana Syabas adalah syarikat kroni Umno.

Ujar beliau, “hal ini membuktikan kegagalan penswastaan. Meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.”

Katanya, Khir tidak perlu berlagak naïf kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu – untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

“Khir tidak boleh menafikan, ketika zaman kegemilangannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun).

“Lebar Daun ialah sebuah syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik.”

Hutang Unisel ratusan juta

Menurutnya, kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan Unisel berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini.

“Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat,” jelas beliau.

Katanya lagi, di bawah pentadbiran Khir yang merupakan Menteri Besar hasil produk Tun Dr Mahathir, banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

“Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni Umno-BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan.

“Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diisytiharkan muflis,” terangnya.

Namun begitu katanya, beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

“Khir telah mengangkat tangan kononnya serik menjadi MB Selangor dan tidak mahu bertanding di dalam PRU yang akan datang.

“Namun rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi.

“Namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor, Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan,” ujar Faekah.

FMT pada 5 Februari lalu, melaporkan kenyataan Khir yang menafikan bahawa beliau menyerahkan pengurusan air Selangor kepada Syabas tetapi sebaliknya beliau menyerahkannya kepada kerajaan pusat. ( SINI )

“Kerajaan Pusat yang memberikan kontrak 30 tahun kepada Puncak Niaga Sdn Bhd yang kemudiannya melantik Syabas untuk menguruskannya.

“Saya tidak terbabit kerana Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang memberikan kepada Puncak Niaga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Glenmarie. FMT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular