Wednesday, February 8, 2012

Isu Azmin Hilmi: PDRM belum terima pengesahan polis Indonesia

KUALA LUMPUR-Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima pengesahan daripada polis Indonesia mengenai penahanan Azmin Hilmi, bekas teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, yang disyaki terbabit menyebar gambar bogel wanita itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) masih belum mengesahkan penahanan lelaki itu yang didakwa dilakukan oleh pihak berkuasa Batam, Indonesia, Jumaat lalu.

"Setakat ini masih belum ada pengesahan daripada pihak Indonesia mengenai tangkapan tersebut. Hilmi masih dikehendaki polis Kuala Lumpur untuk bantu siasatan kes membabitkan Elizabeth Wong," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.

Ku berkata, sekiranya benar lelaki yang dikehendaki PDRM sejak 2009 itu ditahan, PDRM akan berurusan dengan POLRI melalui saluran tertentu.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pihak berkuasa Batam, Indonesia ketika dia cuba memperbaharui pasport dengan menggunakan kad identiti dan sijil lahir palsu di Jabatan Imigresen Batam.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Indonesia terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia warga Malaysia dan mendakwa dirinya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada Februari 2009, Hilmi yang juga bekas pembantu seorang pemimpin politik PKR di Selangor, diburu bagi menyelesaikan kontroversi penyebaran gambar bogel Wong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Bagaimanapun, Hilmi yang ketika itu tinggal di Jalan 4H, Ampang Jaya, Selangor gagal dikesan kerana menghilangkan diri ke luar negara selepas terbongkarnya skandal itu.

- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular