Friday, October 12, 2012

Imam Hoslan dilepaskan di bawah perintah Parol, pertahan 'ijtihad ke atas perundangan' +Video


KUALA LUMPUR: Imam Hoslan Husin hari ini dilepaskan di bawah perintah Parol sehingga dibebaskan sepenuhnya pada 8 November ini.


Beliau dilepaskan bersyarat di Pejabat Parol Daerah Cheras kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Beliau dikehendaki melapor diri seminggu sekali mengikut arahan Parol Cheras sehingga tarikh tersebut.

Beliau di bawa ke sini jam 10.38 pagi dari Penjara Kajang.
Beliau sebelum ini dikenakan hukuman penjara selama tujuh bulan tiga hari.

Parol bermaksud pelepasan seseorang penghuni penjara yang mempunyai tarikh bebas dan layak, untuk menjalani mana-mana bahagian hukuman pemenjaraannya di luar penjara menurut sesuatu Perintah Parol

Penghuni dikehendaki menjalani baki hukumannya di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol.

Hoslan yang ditemui di sebaik sahaja dilepaskan melahirkan kesyukuran kerana dibebaskan awal dari tempoh yang sepatutnya.

"Saya bersyukur apa yang berlaku ke atas saya, saya masuk penjara kerana kehendak Nya," katanya.

Beliau yang sedang menunggu isterinya Noorliza Mat Isa, 43 yang bergegas dari hopsital dari menjaga anaknya kerana demam denggi, terus memeluk isterinya dan anaknya sebaik sahaja mereka bertemu.

Isterinya yang diiringi wakil Pemuda PAS Pandan serta saudara mara tiba di sana kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Hoslan yang mengenakan jubah hitam bersemutar hijau turut berterima kasih kepada sahabat handai, pimpinan Pakatan Rakyat termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah memberi sokongan moral kepada keluarganya sepanjang beliau di penjara.

Sepanjang hampir tujuh bulan berada di penjara, beliau mengambil pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.

Malah beliau memaafkan pihak yang menganiaya, namun akan terus memperjuangkan keadilan kerana ia adalah ijtihad dalam hidupnya.

"Masalah manusia adalah kerana dengki dan kianat dalam jiwa yang bersarang jadi jalan keluar ialah kita kena mengaji dan solat dan jaga silaturahim yang Allah perintah, sangat besar martabatnya kalau kita jaga.

"Saya sentiasa memaafkan kerana Rasulullah adalah seorang pemaaf, " ujarnya yang enggan mengulas lanjut berhubung kesnya kerana masih dalam perintah Parol.

Hoslan yang dijatuhkan hukuman setahun bermula pada 8 Mac lalu, selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

Hoslan yang pernah menjadi imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan bertindak membaling selipar ke arah ketiga-tiga panel hakim ketika mahkamah bersidang di Mahkamah Persekutuan I, Istana Kehakiman, antara 10.15 pagi dan 10.30 pagi pada 22 Feb lepas. - Harakah

Imam Hoslan pertahan 'ijtihad ke atas perundangan'

Imam Hoslan Hussin yang dibebaskan daripada hukuman penjara hari ini mengakui kesal dengan perbuatan melemparkan selipar ke arah panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu.

Namun beliau tetap mempertahankan bahawa tindakannya itu, yang menjadi kesalahan menghina mahkamah, merupakan satu "ijtihad" terhadap sistem perundangan yang disifatkannya "tidak betul".

Ditanya sama ada beliau mengesali perbuatan berkenaan, Hoslan menganggukkan kepala dan seterusnya menyatakan bahawa tindakan tersebut hanya satu "pendekatan ringan".

protest in support of shoe throwing iman hoslan hussain 4

"Perlakuan saya yang lepas merupakan ijtihad dan pendekatan ringan terhadap sistem yang tak betul. Sistem ini yangg perlu kita perbetulkan.


"Tindakan saya ialah sebagai orang yang nak keadilan dan patuh pada pencipta," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di pejabat Parol Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Hoslan turut menyifatkan penjara yang dihuninya selama tujuh bulan tiga hari itu sebagai satu "madrasah tarbiyah" baginya.

Tak nak masuk penjara lagi
Namun, bapa kepada tujuh orang anak itu berikrar untuk tidak melaluinya sekali lagi.

"Syukur saya dapat parol. Terima kasih semua. Saya dapat ambil pelajaran dari kejadian ini. Penjara merupakan madrasah tarbiyah. Banduan lain turut sedih saya nak keluar.

"Saya akui, saya tak nak masuk penjara lagi. Saya masuk kerana Allah Ta'ala," katanya.

Walaupun dibebaskan, Hoslan berkata beliau kini masih dipantau dalam tempoh parol selama sebulan.

Beliau tidak dibenarkan keluar daripada Kuala Lumpur sepanjang tempoh itu dan hanya akan dibebaskan sepenuhnya pada 8 November ini, katanya.


NONE

"Saya tak boleh bergerak ke sana ke mari melainkan rujuk pada parol. Tak boleh keluar dari Kuala Lumpur dan hanya boleh ke kawasan yang ditentukan. Kalau nak keluar (Kuala Lumpur) kena beritahu (pegawai parol)," katanya lagi.


Hoslan dibawa oleh kakitangan penjara Kajang tiba di pejabat parol Bandar Tun Razak kira-kira jam 11 pagi tadi dan dipertemukan semula dengan isterinya Noorliza Mat Isa.

Difahamkan, satu majlis kenduri kesyukuran akan diadakan malam ini sempena pembebasannya di markas PAS Kampung Pandan.

Drama membaling selipar ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan pada 22 Februari itu bermula apabila mahkamah tersebut menolak satu permohonan yang dikemukakannya.
Permohonan itu bagi merayu keputusan mahkamah yang memihak kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengusir beliau daripada kuarters masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 1999.

Beliau turut mengemukakan satu ikatan dokumen - yang turut melibatkan dakwaan penyelewengan yang berlaku di masjlid tersebut - bagi menyokong rayuannya pada hari kejadian baling selipar itu.

Mahkamah bagaimanapun mengenepikan dokumen tersebut, berikutan bantahan yang dibangkitkan oleh peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Zulkifli Che Yong bahawa afidavit imam itu difailkan di luar dari masa yang ditetapkan.
Dalam kejadian itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dilaporkan cuba menenangkan Hoslan namun beliau dikatakan enggan mendengar alasan mahkamah untuk membenarkan bantahan ke atas permohonannnya.

Hoslan seterusnya mencampakkan seliparnya ke arah panel hakim yang hampir mengenai seorang daripada mereka.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama  adalah Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari. Mk



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular