Monday, December 5, 2011

Hudud : ABIM dan Pemuda PAS beri amaran pada Soi Lek

Pemuda PAS: Soi Lek biadab, tiada hak pertikai hudud 
KUALA LUMPUR, 5 Dis — Pemuda PAS pusat meminta Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal hukum hudud semalam, menutup mulut dan jangan bercakap mengenai perundangan Islam itu jika tidak mengetahui secara betul dan tepat.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya melihat pemimpin itu amat biadap kerana mempertikai agama Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini dengan mempersoalkan hukum hudud.

Riduan menambah, pihaknya sanggup bersemuka dengan Dr Chua bagi memberi penjelasan menyeluruh jika beliau mahu mendalami pengetahuan mengenai Islam.

“Jangan kerana mahu meraih undi kaum Tionghoa, undi Umno pula menyusut kerana umat Islam terlalu marah dengan beliau sehingga menghukum Umno pula,” katanya lagi.

“Beliau tidak berhak bercakap mengenai Islam dalam forum tersebut kerana beliau tidak tahu mengenai Islam. Jika ada wakil umat Islam yang turut hadir sebagai panel daripada Umno, ini tidak memberi gambaran beliau boleh bercakap apa sahaja mengenai Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sepatutnya tegas Riduan, beliau menyentuh mengenai usaha beliau bagi membela bangsa kaum Tionghoa di negara ini serta bagaimana mahu mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada MCA, bukan bercakap mengenai Islam.

Oleh itu katanya lagi, bagi Pemuda PAS, idu hukum hudud atau hukum Islam tidak wajar dibincangkan secara terbuka oleh masyarakat bukan Islam kerana ia boleh mencetus polemik yang lebih besar.

“Isu hukum Islam sepatutnya dibincangkan secara ilmiah oleh mereka yang berkelayakan dan melibatkan semua pihak, barulah isu ini mendapat penjelasan secara betul dan menyeluruh,” katanya lagi.

Malah kata Riduan, alasan pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara berhadapan dengan ‘kemusnahan diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia adalah alasan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Dewan Pemuda menjelaskan, hakikatnya jika hukum Islam terlaksana di Malaysia, pelabur pasti akan datang ke Malaysia kerana matlamat undang-undang Islam meletakkan keadilan dan keselamatan kepada semua rakyat di negara ini.

“Secara logiknya, jika keadilan dan keselamatan rakyat terkawal, pasti pelabur akan berani datang ke Malaysia kerana hak dan keselamatan mereka dijamin,” kata beliau lagi.

Selain itu, kata Riduan, pihaknya juga menyangkal dakwaan Dr Chua bahawa sistem perundangan Islam tidak adil kepada semua pihak khususnya wanita.

“Dewan Pemdua PAS mempersoalkan dari manakah rujukan beliau sehingga mendakwa syariat Islam tidak adil khususnya kepada wanita?

“(Malah) Dewan Pemuda PAS yakin jika beliau mendapat maklumat dan fakta yang sebenarnya, pasti beliau tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian,” kata Riduan lagi.

Katanya, hukum Islam menjaga hak semua rakyat khususnya kaum wanita dan dengan pelaksanaan hukum Islam, sudah tentu kehormatan wanita akan terjaga.

“Pelacuran, perzinaan, rogol, liwat, menuduh berzina dan liwat, dan lain-lain lagi tidak akan berlaku secara berleluasa seperti sekarang ini.

“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS meminta Dr Chua tidak lagi bercakap atau mengeluarkan kenyataan mengenai Islam jika tidak mahu mengundang kemarahan umat Islam,” katanya. TMI

Hudud: Abim juga mahu Soi Lek minta maaf, diberi amaran keras 

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau berkenaan dengan hukum hudud semalam.

Setiausah Agung ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, oleh kerana ia bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang berbaur menghina hukum Islam, pihaknya mahu permohonan maaf secara terbuka dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Semalam, Dr Chua dipetik berkata pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

Beliau melahirkan pandangan terbaru ini ketika polemik mengenai sistem perundangan Islam itu masih berterusan. Dua bulan lalu ketika kepimpinan PAS merayu kepada umum agar diberi peluang untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai percubaan, Umno pula berkata kini bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Dr Chua berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Bekas menteri kesihatan ini meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

Hari ini, Perkasa dan Pemuda PAS juga mengeluarkan kenyataan mengecam Dr Chua.

“Abim juga menggesa tindakan serta peringatan tegas dikemukakan ke atas beliau untuk mengelakkan insiden-insiden ini daripada berulang kembali,” kata Mohamad Raimi dalam satu kenyataan.

Katanya, Abim mengecam kenyataan Dr Chua kerana telah memperlekehkan hukum hudud dan kenyataan biadap itu satu indikasi kepada perasaan kurang hormat beliau terhadap ajaran Islam itu sendiri.

“Di samping itu, Abim berpandangan kenyataan tersebut berniat jahat serta bersifat dangkal dan boleh mencetuskan ketegangan politik serta agama yang sama sekali tidak diingini.

“Ini memandangkan hukum hudud serta ajaran Islam secara keseluruhannya menghormati serta memartabatkan hak asasi manusia,” katanya lagi.

Mohamad Raimi juga berkata, kenyataan Dr Chua juga merupakan kesinambungan daripada sentimen Islamafobia yang berkembang pesat di seluruh dunia.

“Abim merasa amat kecewa di atas kegagalan beliau mendalami serta memahami Islam secara keseluruhannya, di samping kecewa di atas kegagalan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada beliau,” katanya lagi. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular