Monday, December 5, 2011

13 Produk Makanan Di Kedai Rakyat 1Malaysia Tak Penuhi Spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejumlah 13 jenis produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak menepati spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985 dan tindakan telah diambil untuk memastikan ia dikeluarkan daripada rak-rak jualan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong berkata, produk-produk itu ialah susu segar, susu sejat, susu pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam tin, kordial mangga, minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim,mentega kacang ranggup, sardin tin, dan soso tomato.

Katanya, produk-produk ini juga tidak menepati spesifikasi penglabelan, komposisi produk dan tidak menepati aspek keselamatan makanan.

Liow juga berkata, ekoran dari itu, pihak kementerian turut menjalankan pemeriksaan ke atas 30 kilang yang membekalkan makanan-makanan berkenaan ke kedai KR1M.

Beliau menyatakan pihak kementerian juga telah mengambil 93 sampel dari 43 produk makanan yang dijual di KR1M untuk tujuan analisis.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kualiti makanan yang dijual di kedai KR1M dan konsumer yang mempunyai maklumat ke atas sebarang produk yang meragukan supaya menghubungi pihak berkuasa dengan serta merta.

Isu mengenai kualiti produk yang dijual di KR1M yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian telah dibangkitkan oleh ahli parlimen DAP, Tony Pua baru-baru ini.

Dalam hubungan ini, kata Liow tindakan Tony Pua mengumumkan tentang perkara tersebut secara terbuka telah menjejaskan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana apabila pemeriksaan dilakukan sebahagian daripada produk yang meragukan itu telah pun dikeluarkan dari rak jualan.

Bagaimanapun Liow berkata, pihak kementerian telah berjaya mengesan siapakah pihak yang mengeluarkan produk-produk makanan itu.

Tambah beliau dari Januari hingga Ogis tahun ini, 125,709 barangan yang dibawa masuk ke Malaysia telah diperiksa di bawah Sistem Maklumat Keselamatan Makanan.

“Hasil siasatan dan ujian mendapati, 1.1% daripada barangan ini didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985,” ujarnya.

Untuk produk tempatan pula, 41,518 sampel telah diambil dari Januari hingga September tahun ini dan daripadanya 4.9% telah didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985. mStar Online

KR1M tarik balik 13 produk diragui, tapi pertahan selamat 
Oleh G Manimaran December 04, 2011
KUALA LUMPUR, 4 Dis ― Ekoran dakwaan bahawa Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) menjual barangan rendah kualiti dan kenyataan Kementerian Kesihatan semalam, Pengarah Urusan Mydin Bhd Datuk Ameer Ali berkata pihaknya telah memutuskan untuk memanggil balik 13 produk jualan pihaknya.
Bagaimanapun kata beliau, langkah itu hanya bagi tujuan pelabelan dan aspek komposisi makanan, bukan kerana ia “tidak selamat” untuk digunakan sebagaimana didakwa oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Sejak awal bulan lalu, wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat mendakwa beberapa produk dijual di KR1M, konsep niaga yang dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tidak selamat untuk kegunaan orang ramai.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ameer menjelaskan, empat daripada tujuh produk dibangkitkan kualitinya oleh pemimpin Pakatan Rakyat adalah berkaitan aspek pelabelan manakala bakinya berkenaan dengan aspek komposisi produk.

Sehubungan itu katanya, pelabelan dan komposisi produk adalah dua isu yang boleh terjadi kepada mana-mana produk sekalipun, apatah lagi bagi produk yang baru belajar memasuki pasaran.

“Ia adalah sesuatu yang mesti diperbetulkan dan diperbaiki, tetapi bukanlah tidak selamat ataupun memudaratkan sekiranya diambil,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa hasil pemantauan telah mendapati bahawa 13 produk 1 Malaysia tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan tindakan telah diambil oleh pihak berkenaan.

Produk-produk yang terlibat adalah susu segar, susu sejat, krimer pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam dalam tin, kordial mangga, sebatian minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim, ‘crunchy peanut butter’, ‘crispy peanut butter’, dan ikan sardin dalam sos tomato bertin (155g).

Laporan media semalam memetik Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, semua aduan atau maklumat berhubung isu keselamatan dan kualiti makanan KR1M perlu disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan kementerian mendapat maklumat tepat sebelum mengambil tindakan segera.

Dr Hasan berkata, tindakan menyiarkan aduan terus dalam media massa menyebabkan peniaga menarik balik produk dari pasaran, yang boleh mengganggu siasatan kementerian.

Katanya, perkara itu diperjelaskan pada pertemuan Kementerian Kesihatan dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan wakil rakyat Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar di Putrajaya, kelmarin.

Pada pertemuan itu, mereka juga membincangkan mengenai pelabelan dan aspek komposisi tujuh produk makanan yang dibangkitkan Pua baru-baru ini.

Produk berkenaan ialah susu tumbesaran, ais krim, jem buah-buahan, susu sejat, krimer pekat manis, tin ikan sardin dan tin kari ayam.

Pua sebelum ini mendakwa hasil ujian makmal menunjukkan terdapat kandungan tinggi koliform dalam susu segar dan sembilan produk lain ― produk dalam botol iaitu sos tiram, jem nanas, ais krim, susu sejat dan makanan di dalam tin seperti krimer pekat manis, minyak sapi, sardin dan kari ayam.

Dalam kenyataan hari ini, Ameer berkata, kebanyakan daripada ketidakpatuhan adalah dari aspek komposisi produk dan pelabelan, dan bukan dari aspek keselamatan makanan.

Kata beliau, penubuhan KR1M dapat memberi peluang perniagaan yang lebih meluas kepada pengusaha dan pengeluar produk tempatan iaitu industri kecil dan sederhana untuk menaik taraf produk keluaran tempatan dan lebih dikenali oleh masyarakat.

“Pihak pentadbiran yang mentadbir keseluruhan operasi KR1M memiliki pengalaman dan pencapaian yang diiktiraf di dalam industri peruncitan.

“Bidang perniagaan adalah sesuatu yang mencabar dan sangat tinggi risikonya, masih tidak ramai anak tempatan yang berani untuk menyahut cabaran di dalam bidang ini,” kata Ameer lagi.

Maka kata beliau, kewujudan KR1M diibaratkan suatu cahaya yang membuka peluang perniagaan kepada rakyat tempatan untuk maju ke hadapan.

Dengan menggunakan peribahasa “Adat Periuk Berkerak, Adat Lesung Berdedak”, Ameer menambah, tiap-tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan dan haruslah bersusah dahulu sebelum bersenang.

“Sebagai usahawan IKS yang belajar menongkah arus serta meningkat naik, mereka tidak lekang daripada membuat kesilapan.

“Ini tidak terkecuali kepada para pembekal produk 1 Malaysia yang mana produk mereka telah dipertikaikan oleh sesetengah pihak sebagai tidak mematuhi akta pemakanan,” kata beliau sambil menambah, produk-produk tersebut telah pun dikenal pasti dan para pembekal telah dimaklumkan untuk memperbetulkan kesilapan.

Ia akan dibenarkan untuk memasuki pasaran semula setelah diperiksa samada mematuhi peraturan, kata beliau.

Katanya, ‘product recalls’ atau memanggil semula produk dari pasaran berlaku di mana-mana sahaja di dunia ini dan ia disebabkan oleh pelbagai perkara.

“Syarikat-syarikat gergasi antarabangsa yang lain yang mempunyai sijil ISO dan sijil-sijil standard antarabangsa,” kata Ameer sambil menambah, “semua ini dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi ini sebaik sahaja mengetahuinya dan dibuat atas kepentingan keselamatan pengguna, menjaga nama baik syarikat dan etika kejujuran selaku peniaga.”

Sehubungan itu kata beliau, KR1M telah pun mengambil inisiatif segera memaklumkan kepada kesemua pembekal produk 1 Malaysia bahawa produk-produk mereka telah atau akan dihantar ke makmal-makmal untuk pemeriksaan secara terperinci dan ini akan dilakukan secara berkala.

“Untuk melakukan ini bukanlah murah dan mudah,” katanya. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular