Rata-Rata anggota Parlimen bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan.
Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.
"Saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi pemasangan AES harus diletakkan di kawasan yang sesuai.
"Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya," katanya kepada Bernama di bangunan Parlimen hari ini.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal sesebuah kawasan.
Mohd Radzi juga berkata beliau percaya ramai yang telah ditangkap gambar kerana melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan membayar saman untuk menunjukkan protes.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.
Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin pula berkata penangguhan AES itu perlu supaya kerajaan, khususnya pihak Kementerian Pengangkutan, dapat memberi penjelasan sepenuhnya kepada rakyat berhubung kepentingan melaksanakan sistem baru tersebut.
Beliau turut berpendapat aspek pendedahan awal terhadap pelaksanaan sistem AES terlalu kurang menyebabkan rakyat tidak bersedia sehingga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaannya.
"Sungguhpun pemasangan AES bertujuan untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya, namun ramai kurang tahu mengenai pelaksanaan ini (AES)... tahu-tahu dapat saman sahaja.
"Jadi, ini yang mereka (rakyat) tidak puas hati," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu.
Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, yang menyambut baik cadangan penangguhan AES, mencadangkan supaya sistem itu diberi satu tempoh percubaan.
Beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, kerajaan akan mempunyai ruang untuk mengkaji keberkesanan sistem tersebut terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Saya cadangkan tempoh percubaan selama enam bulan boleh menjadi proses untuk mendidik rakyat, yang kemudiannya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) misalnya, boleh mengemukakan laporan sejauh mana tempat yang dipasang AES ini betul-betul berkesan dari segi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,"
katanya.
Pada masa sama, Ibrahim turut mencadangkan agar saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya ditangguhkan bagi menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap desakan rakyat.
Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata beliau menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negara kerana jumlah kemalangan di negara ini antara yang tertinggi di dunia.
Bagaimanapun, katanya, sistem itu perlu diwujudkan kerana sudah terbukti ramai pengguna jalan raya gemar melanggar lampu merah serta memandu melebihi had laju, yang boleh membahayakan pengguna lain.
Bagi Anggota Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub, penangguhan pelaksanaan AES adalah wajar kerana ia bukan penyelesaian dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya tetapi lebih kepada membebankan pengguna.
"Semua pihak harus bersuara dengan memberi pendapat mengenai isu ini, dan memastikan ia mencapai matlamatnya untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan rayadan bukan menjadikan pengguna jalan raya sebagai mangsa kepada sistem penguatkuasaan yang tidak berkesan," katanya, lapor Bernama.
Sebelum ini, negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sepakat untuk menangguhkan pelaksanaan AES sehingga kajian dijalankan mengenainya.
Manakala Harakahdaily melaporkan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar semalam menyeru orang ramai tidak membayar saman AES, sebaliknya hadir mempertahankan diri di mahkamah.
Katanya, pihaknya sudah menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu.
"Jika kerajaan enggan berbuat demikian saya seru mereka yang sudah menerima saman AES untuk tidak membuat bayaran kompaun sebanyak RM300 itu, ikut arahan yang tertera di kertas saman untuk pergi ke mahkamah dan KASE sedia beberapa orang peguam untuk bantu dalam kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Mk
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment