Thursday, August 22, 2013

SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK [AES] PI MAI PI MAI TANG TU

Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein memaklumkan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara bahawa perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik [AES] dikekalkan. 

Dalam masa yang sama menyatakan bahawa Kerajaan merancang untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam perlaksanaannya iaitu dengan menubuhkan Jawatankuasa pemandu bagi meneliti dan mengkaji semula perlaksanaan AES. Antara cadangan yang disebutkan ialah dengan Kerajaan mengambil alih perlaksanaan AES daripada syarikat swasta.

Pengumuman ini ekoran janji Kementerian pada 2 Ogos 2013 untuk mengkaji semula perlaksanaan AES ekoran maklumbalas dan rungutan pelbagai lapisan masyarakat termasuk Badan Bukan Kerajaan dan parti politik. Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] dalam respon pada 5 Ogos 2013 telah menyatakan bahawa kami tidak meletakkan sebarang harapan kerana ianya tidak lebih daripada ungkaran lapok yang hanya indah khabar dari rupa. Dengan pengumuman Pemangku Menteri bahawa AES kekal, jelas bahawa telahan dan jangkaan KASE adalah benar. Semuanya indah khabar dari rupa.

Apabila pengumuman Pemangku Menteri bahawa AES dikekalkan dan Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan untuk mengkaji setiap aspek perlaksanaan, maka ianya jelas “Pi Mai Pi Mai Tang Tu”. Sebelum 22 September 2012 tarikh perlaksanaan AES berkuatkuasa Kerajaan melalui Kementerian memaklumkan dan mempertahankan bahawa perlaksanaan AES dibuat setelah kajian menyeluruh dibuat dan maklumbalas daripada pelbagai pihak diperolehi tetapi sekarang sekali lagi Jawatankuasa ditubuh untuk mengkaji semula. Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Duit rakay juga dihabiskan untuk penubuhan Jawatankuasa semula.

KASE bagaimana pun menyambut baik rancangan Kerajaan untuk mengambil alih perlaksanaan AES daripada syarikat swasta. Sebenarnya perkara ini telah berulang kali KASE bangkitkan. Persoalan utama perlaksanaan AES adalah kenapa perlu ianya dilaksanakan oleh syarikat swasta. Kerajaan bagaimana pun tetap dengan pendirian berulang-ulang di dalam Parlimen mempertahankan tindakan tersebut bahawa perlaksanaan secara out-source adalah untuk kebaikan semua pihak. Nah sekarang sudah terbukti bahawa tindakan tersebut adalah silap. Walau bagaimana pun KASE tidak dengan sewenang-wenangnya menerima cadangan tersebut tanpa penjelasan daripada Kerajaan.

Justeru KASE meminta Kerajaan menjelaskan dan melakukan perkara-perkara berikut kepada rakyat :

Pertama : Kerajaan hendaklah menghentikan serta merta perlaksanaan AES sehingga kajian lengkap oleh Jawatankuasa pemandu selesai.

Kedua : Kerajaan hendaklah membatalkan semua saman-saman AES yang telah dikeluarkan sejak 22 September 2012 sehingga kini;

Ketiga : Kerajaan hendaklah memulangkan semua jumlah kompaun atau denda yang telah dibayar oleh penerima saman yang berjumlah RM20,050,500.00.

Keempat : Kerajaan hendaklah mendedahkan butiran Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan dengan syarikat pengendali.

Kelima : Kerajaan hendaklah mendedahkan jumlah bayaran pengambil-alihan perlaksanaan AES daripada syarikat.

Keenam : Kerajaan hendaklah menjelaskan adakah suatu kajian teliti dibuat sebelum perlaksanaan AES pada 22 September 2012 dibuat.

Rakyat berhak mendapat penjelasan daripada Kerajaan jika benar Rakyat Didahulukan.

ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]
21 OGOS 2013 / 13 Syawal 1434

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular