Thursday, August 22, 2013

KPN Buat Lawak : Apa kaitan peningkatan jumlah kemalangan maut dengan Tunggakan Saman?

Utusan Online 21 Ogos 2013 melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkata seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan. Tindakan tersebut katanya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] gelihati dengan kenyataan tersebut. KASE memohon jasa baik Kamar Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang PDRM agar menasihati Ketua Polis Negara [KPN] berkaitan bidangkuasa PDRM sebelum membuat sebarang kenyataan agar tidak menjadi bahan ketawa dunia yang akhirnya akan menjatuhkan maruah pasukan Polis.

KASE ingin memaklumkan KPN bahawa PDRM tiada sebarang kuasa di bawah sebarang peruntukkan undang-undang untuk menyenarai hitam pemegang lesen memandu. Sejak penubuhan KASE pada Ogos 2009, KASE telah berulang kali menegaskan bahawa pihak PDRM tiada sebarang kuasa untuk menyenarai hitam kenderaan atau pemilik lesen memandu. Kuasa untuk menyenarai hitam atau dalam istilah undang-undangnya ialah menghalang transaksi terletak pada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] melalui Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagaimana KPN boleh dengan suka hati mengatakan bahawa terdapat 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan membayar saman? Siapa yang menyenarai hitam? Ironinya lagi, sejak November 2009 Kerajaan telah umumkan bahawa senarai hitam khasnya bagi Notis Pol 170A yang dikenali dengan Saman Ekor telah ditarikbalik. Justeru KASE memohon penjelasan KPN, 1.7 juta yang dinyatakan tersebut saman apa?

Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda pada Disember 2012 hasil gerakan KASE menolak dan mendesak Kerajaan khususnya PDRM dan JPJ menarikbalik polisi senarai hitam pada 2009.

Untuk makluman KPN dan seluruh rakyat Malaysia, Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga hanya memberi kuasa kepada Ketua Pengarah JPJ untuk menggantung atau membatalkan lesen memandu seseorang. KASE mengajak KPN untuk merujuk peruntukkan Seksyen 35 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan tersebut.

Kenyataan paling kelakar daripada KPN ialah tindakan tersebut akan dilaksanakan ekoran peningkatan jumlah kemalangan semasa Op Selamat III. Adakah dengan tindakan 1.7 juta individu tersebut membayar saman maka jumlah kemalangan akan berkurangan? Apa kaitan bayar saman dengan jumlah kemalangan?

KASE memohon KPN supaya lebih teliti mengeluarkan kenyataan dan membuat tindakan. Seharusnya PDRM, Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi Kerajaan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya [JKJR] bekerjasama dengan lebih mantap untuk memberikan kesedaran pengguna tentang keselamatan jalan raya. KASE menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan kemalangan demi keselamatan pengguna dan masyarakat. Tindakan dan pendekatan lebih komprehensif perlu dibuat bukan dengan hanya mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan yang tidak bersandarkan undang-undang.

ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE]
21 OGOS 2013 / 13 Syawal 1434

1.7 JUTA INDIVIDU GAGAL BAYAR SAMAN BAKAL DIBATAL LESEN MEMANDU - KPN
Kuala Lumpur, 21 Ogos - Seramai 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik bakal berdepan tindakan lesen memandu dibatalkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan itu akan ditumpukan terhadap penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil yang banyak menyumbang kepada jumlah kemalangan maut pada Op Selamat III sempena Aidilfitri baru-baru ini.

"Kami mensasarkan penunggang motosikal dan pemilik kenderaan komersil terlebih dahulu berikutan peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Ops Selamat III (membabitkan mereka)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah terbaik Op Selamat III di sini, hari ini.

Beliau berkata polis akan mencadangkan undang-undang dipinda segera bagi membolehkan tindakan itu diambil dengan secepat mungkin.

Ops Selamat III yang bermula pada 1 Ogos hingga 18 Ogos lepas, secara keseluruhannya mencatatkan 17,831 kes kemalangan yang menunjukkan penurunan sebanyak 106 kemalangan berbanding Ops Selamat II.

Bagaimanapun kadar kemalangan maut telah meningkat sebanyak 32 kes atau 14.2 peratus iaitu daripada 226 kes kepada 258 kes, dengan jumlah kematian turut meningkat sebanyak 49 kes atau 20.2 peratus iaitu daripada 243 kes kepada 292.

Khalid berkata mereka yang telah disenarai hitam dan juga mempunyai saman tertunggak dinasihatkan membayar saman mereka bagi mengelakkan tindakan itu.

"Kami juga akan mengambil penguatkuasaan yang lebih agresif khususnya terhadap mereka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dua garisan berkembar, jadi, esok jangan salahkan polis kerana mendapat saman," katanya.

Sementara itu semasa berucap pada majlis tersebut, Khalid berkata para pemandu kenderaan, terutamanya penunggang motosikal, perlu mengubah sikap bagi mengelakkan daripada kemalangan maut yang semakin meningkat pada masa ini.

Mengenai kesedaran di kalangan masyarakat untuk bekerjasama dengan polis dalam membantu menjaga harta benda dan memerangi jenayah, beliau melahirkan rasa puas hati dengan peningkatan penyertaan masyarakat.

"Ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan penyertaan masyarakat dalam kempen Op Selamat tahun ini iaitu sebanyak 8,592 atau 58.5 peratus, secara tidak langsung menunjukkan tahap penerimaan masyarakat terhadap PDRM semakin positif dalam usaha membanteras jenayah," katanya.
-BERNAMA

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular